Keadaan kereta yang disimbah dengan cat dan asid dipercayai diterima oleh pelakon dan pengarah Mentega Terbang. Foto Twitter HadiAzmi

KUALA LUMPUR – Ancaman bunuh kepada pengarah dan pelakon filem kontroversi, Mentega Terbang adalah satu tindakan keterlaluan dan bertentangan dengan undang-undang negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mengecam sekeras-kerasnya ugutan itu  serta sebarang tindakan di luar batas undang-undang.

“Rakyat Malaysia mesti patuh undang-undang, jangan ambil tindakan yang boleh merosakkan harta benda, mengancam nyawa.

“Patuhi undang-undang, jangan mengambil tindakan sendiri,” katanya menerusi ciapan di Twitternya di sini hari ini.

Filem Mentega Terbang mencetuskan kontroversi selepas tular sedutan babak dalam filem tersebut yang memaparkan isu menyentuh sensitiviti penganut agama di Malaysia.

Dalam filem tersebut, watak bernama Aisyah tanpa berselindung meminta untuk memakan daging babi daripada rakannya sementara bapanya pula membenarkan Aisyah keluar daripada Islam bagi memeluk agama lain.

Sedutan babak itu tular di media sosial dan mengundang kemarahan netizen yang mempersoalkan bagaimana filem yang sudah disiarkan sejak 2021 itu dibenarkan untuk tontonan umum.

Dalam ciapan tersebut, beliau turut berkongsi beberapa keping gambar kereta disimbah dengan cat dan asid selain surat ancaman bunuh yang dipercayai diterima oleh pengarah dan pelakon filem berkenaan.

Susulan daripada itu, Fahmi pada 5 Mac lalu memaklumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap produksi filem tersebut.

Saluran penstriman dalam talian yang menayangkan filem berkenaan juga sudah mengeluarkan Mentega Terbang daripada salurannya pada 27 Februari lalu.

Pada masa sama, polis dilaporkan sudah merekodkan keterangan pengarah dan salah seorang pelakon filem itu pada 10 Mac lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast