ALOR GAJAH – Seorang pelajar sebuah universiti di sini memberi alasan tolong membaiki paip air tersumbat ketika dicekup berkhalwat di rumah sewa kekasihnya di sini malam Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kedua-dua pasangan berusia 22 tahun itu dicekup kira-kira pukul 10 malam hasil aduan daripada Rakan Setiaku JAIM (RASEIM).
Susulan itu katanya, sepasukan Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) dari Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Islam Daerah Alor Gajah JAIM telah melakukan tangkapan terhadap pasangan kekasih itu.
“Pada awalnya ketika diperiksa, pelajar universiti yang sama dengan kekasihnya itu tidak mengaku ada lelaki di rumah berkenaan yang disewa bersama rakan-rakannya.
“Bagaimanapun selepas dimaklumkan ada saksi awam nampak lelaki masuk ke rumahnya pada pukul 6 petang, dia akhirnya mengaku terdapat seorang lelaki di dalam bilik tidur.
“Lelaki itu yang berpakaian lengkap kemudian memberi alasan datang ke rumah kekasihnya itu untuk tolong membaiki paip air yang tersumbat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Tambahnya, kedua-dua mereka yang masih bujang kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak.
Che Sukri berkata, kejayaan itu juga adalah hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli RASEIM yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.
“JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,” jelasnya. – MalaysiaGazette.