TAPAH – “Maaf, saya masih busy lagi sekarang. Nanti saya call semula,”.
Itu maklum balas yang diterima Azmi Bah Kachang selepas dia menghubungi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai dakwaan kecurian pasir di Kampung Sungai Cincin di sini.
Azmi bertambah kesal apabila perkara itu bukan kenyataan daripada pegawai bawahan Jakoa, sebaliknya ia adalah maklum balas daripada Pengarah Jakoa Perak dan Kedah yang dianggap sebagai individu yang boleh mereka bergantung harap.
Panggilan telefon yang dirakam itu dikongsikan kepada wartawan MalaysiaGazette selepas Azmi hilang arah untuk mengadu apabila sudah lebih lima tahun isu tersebut seakan-akan diremehkan oleh Jakoa Perak.

“Pada 2018, kami penduduk kampung telah pun serahkan memorandum bantahan kes kecurian pasir di kampung kami. Bayangkan seawal jam 4 pagi kami diganggu dengan bunyi bising kerja mengorek pasir, lori pula keluar masuk dengan pemanduan yang laju, debu pasir berterbangan, tapi Jakoa Perak masih membisu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.
Dakwa Azmi, hampir seminggu dia menunggu panggilan semula daripada Pengarah Jakoa itu yang berjanji akan hubungi untuk maklumkan perkembangan kes tersebut, namun sepi sehingga kini.
“Akhirnya, saya yang hubungi dia semula. Selepas perlu melalui banyak tapisan, hampir tiga minit baru saya dapat cakap dengan beliau. Saya terkejut sebab bila saya mengadu, dia seakan-akan tidak pernah tahu kes itu sambil saya dengar dia tanya pembantunya pernah tahu ke pasal kes ini, walhal ini isu lama,” ulas Azmi.
Selepas perbualan ringkas selama dua minit itu, individu itu sekali lagi meminta Azmi dan penduduk kampung bersabar kerana pihak mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai isu tersebut dan berjanji akan menghubungi semula.
“Kini, saya rasa tertipu lagi. Tidak ada pun panggilan untuk mereka beritahu jalan solusi tentang gangguan yang kami alami. Jakoa umpama ayah kami, tempat kami mengadu dan berharap namun kami seperti anak tiri yang sering disisihkan,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, MalaysiaGazette mendedahkan hampir 400 penduduk Orang Asli suku kaum Semai di Kampung Sungai Cincin diancam dengan pencemaran bunyi, udara dan sungai.
Mana tidaknya, saat lena dibuai mimpi mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman yang cukup kuat seawal jam 4 pagi apabila projek di bawah kendalian salah sebuah syarikat itu memulakan operasi.
Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati, projek itu turut menyebabkan aktiviti pencarian ikan di sungai kampung mereka tidak lagi menemui hasil akibat pencemaran sisa diesel di sekitar tapak pengambilan pasir tersebut.

Sehingga ke hari ini, mereka juga berdepan dengan udara tidak sihat apabila pekarangan rumah pasti akan dipenuhi dengan debu pasir yang ‘berterbangan’ berikutan tapak projek itu hanya sekitar 500 meter dari penempatan mereka.
Sehubungan itu, mereka berharap semua laporan yang dibuat sebelum ini termasuk kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan akan menemui jalan penyelesaian. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Orang Asli dakwa bekas MB Perak pandang remeh kes curi pasir
Sampai bila keadaan yg mengancam kehidupan kaum asal kita akan dikhianati. Adakah sampai racun Ipoh sumpitan maut dulu baru ada tindakan.
Sedar lah wahai manusia yg kononnya bertamadun dan mempunyai kuasa..bahawa semua yg dipegang pasti hancur suatu masa, suatu hari nanti. Ingat kamu Islam..Bukan makan babi saja yg HARAM.