Tertuduh, Mohamad Nazrul Jalal, 33, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas tuduhan cubaan membunuh pegawai kanan polis 4 Mac lalu.

MELAKA – Seorang pekerja syarikat kereta sewa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan cubaan membunuh seorang pegawai polis 4 Mac lalu.

Tertuduh, Mohamad Nazrul Jalal, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melanggar seorang pegawai kanan polis yang sedang menjalankan tugas menggunakan sebuah kereta jenis Honda.

Tindakan yang dilakukan di Jalan Bendahara, Melaka pada pukul 11.30 malam, 4 Mac lalu mengakibatkan kecederaan ke atas Inspektor Mohamed Yazid Kassim.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Ashraf Mohd Diah.

Hakim Darmafikri tidak membenarkan jaminan ekoran tertuduh berdepan tiga lagi pertuduhan berkaitan dadah di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mahkamah menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nabilah Nizam, tertuduh bersama seorang lagi rakannya, Mohd Nasrul Iman Nasir, 38, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 83.3 gram.

Perbuatan itu dilakukan di dalam kereta jenis Honda di hadapan sebuah hotel pada tarikh dan waktu sama pertuduhan pertama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(2) ADB 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan.

Kes akan disebut semula 9 Mei depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast