Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan membuat pilihan yang tepat apabila  melantik bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu berkuatkuasa Jumaat lalu.

Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau percaya anak muda itu yang berpengalaman luas dalam pelbagai profesion berkaitan pentadbiran kerajaan dan orang Melayu dapat melaksanakan tugasan dengan baik.

“Pada saya pelantikan itu tepat kerana MARA hanya boleh dipimpin oleh seorang Bumiputera Melayu yang memahami masalah kita. Saya yakin dan percaya Asyraf dapat laksanakan tugas ini dengan baik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pelantikan Dr. Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memaklumkan beliau sendiri menyerahkan watikah pelantikan kepada Asyraf Wajdi di pejabat kementerian itu.

“(Asyraf Wajdi) telah dilantik, bukan desas desus lagi. Beliau telah dilantik dan saya telah watikahkannya, pada Jumaat lalu,” jawab Ahmad Zahid pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Menurut Zaid, masalah sesetengah parti politik di negara ini cepat memperkatakan jika seseorang itu datang dari parti, maka tidak boleh pegang jawatan tertentu dalam agensi dan GLC.

“Itu tanggapan keterlaluan, semua org yang aktif ada kaitan dengan politik, bukan saja UMNO, parti-parti lain pun.

“Kalau nak lantik ketua agensi atau GLC sudah tentunya kita kena ambil kira golongan mereka yang ada kaitan dengan politik ini.

“Dalam hal pelantikan Dr. Asyraf ini, bukan soal dia dari parti mana, persoalannya adakah dia mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya.

Beliau juga menyatakan, jika pelantikan seseorang itu sebagai pengerusi sesebuah agensi, kerajaan tidak ambil kira parti politik, sebaliknya kemampuan, kebolehan dan integritinya dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Jadi, pelantikan Pengerusi MARA dan beberapa agensi lain ini menunjukkan UMNO memainkan peranan penting dalam dasar ekonomi kerajaan.

Dalam pada itu, Zaid meminta maaf kepada perwakilan UMNO dari Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah kerana tidak dapat menghabiskan program pengenalan calon di empat negeri itu kerana tinggal satu hari sahaja untuk hari mengundi.

“Kepada perwakilan Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Sabah yang akan memilih pemimpin Sabtu ini (esok), saya kecewa kerana tak sempat nak ke sana atas sebab-sebab tertentu.

“Jadi, saya tidak dapat bertemu dengan mereka dalam program memperkenalkan diri calon. Namun, saya merayu, walaupun tidak dapat ke sana, berilah sokongan anda kepada saya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast