pimpinan
Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Mohamad Hasan.

ESOK para perwakilan di 191 UMNO bahagian di seluruh negara akan terlibat dalam pemilihan yang dianggap amat penting dalam usaha memulihkan semula maruah dan kekuatan parti.

Selain memilih barisan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang baharu, mereka juga akan mengundi untuk jawatan-jawatan penting dalam jawatankuasa bahagian masing-masing.

Seperti yang pernah ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, beliau tidak mahu melihat wujud kabilah-kabilah dalam parti.

Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO dilanda gejala perpecahan yang kronik selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020.

Masalah sering timbul apabila beberapa pemimpin kanannya yang menganggotai Kabinet kerajaan PN mengambil sikap yang berbeza dengan pendirian rasmi UMNO seperti yang diputuskan oleh MKT.

Malah, ada yang secara terang-terangan memperlekehkan kepimpinan tertinggi parti termasuk ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Ada yang menganggap diri mereka lebih besar daripada parti, seolah-olah menyangka ‘tanpa mereka, UMNO tidak akan ke mana’.

Melihat kepada situasi yang boleh menghancurkan UMNO itu, MKT terpaksa mengambil tindakan tegas membersihkan parti daripada anasir-anasir yang bersimpati dengan parti lawan.

Bukan sedikit kecaman yang diterima oleh Ahmad Zahid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan ekoran keputusan memecat nama-nama besar seperti Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar.

Namun, tindakan kurang popular itu perlu dilakukan demi kelangsungan UMNO dan memperkukuhkan kembali parti menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) serta PRU16.

Pucuk pimpinan telah melakukan langkah awal pemulihan parti dan esok, akar umbi pula akan meneruskan usaha tersebut dengan memilih barisan kepimpinan di peringkat pusat dan bahagian.

Perwakilan sememangnya bebas untuk memilih sesiapa sahaja calon yang mereka fikirkan layak untuk mengisi jawatan-jawatan yang dipertandingkan.

Cuma, adalah lebih afdal sekiranya tokoh-tokoh yang dipilih adalah senada dan sekata dengan pucuk pimpinan tertinggi agar proses pemulihan UMNO berjalan lancar tanpa gangguan.

Calon-calon yang mempunyai ciri-ciri seperti kesetiaan, keikhlasan dan sanggup berkorban demi parti seharusnya diberi kepercayaan untuk membantu Ahmad Zahid dan Mohamad untuk mengembalikan maruah serta kegemilangan UMNO.

Apa yang lebih penting, pilihlah mereka yang selama ini sentiasa bersama parti dalam apa jua keadaan sekali pun serta tidak pernah membelakangkan keputusan MKT. – MalaysiaGazette