Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal .- Foto MOHD ADZLAN, 07 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen (PN) Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa masih wujud unsur ‘saki baki’ komunis dalam politik di negara ini.

Menurutnya, unsur-unsur tersebut bercita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara republik dengan menjatuhkan raja-raja Melayu dan Islam yang sebelum ini dibawa oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

“Bila mana Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pas bertegas menentang unsur komunisme dalam politik Malaysia ia merujuk kepada sejarah keganasan dan pengganas Parti Komunis Malaya.

“Yang bercita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara republik menjatuhkan Raja-Raja Melayu dan Islam.

“Saki-baki unsur ini masih ada dalam politik negara cuma mereka bergerak secara halus,” kata Wan Ahmad Fayhsal di media sosial.

Ketua Pemuda Bersatu itu berkata, Perikatan Nasional akan terus mentang habis-habisan kumpulan tersebut.

Beliau mendakwa, gerakan yang mendapat dana dari luar negara menggunakan topeng demokrasi bagi merealisaikan impian.

“Hal ini kami di Perikatan Nasional akan terus tentang habis-habisan termasuk gerakan subversif ‘regime change‘ bertopengkan mempromosi demokrasi yang didanai pihak asing dari luar untuk mengubah politik Malaysia yang menjadi ancaman ke atas kedaulatan Melayu dan Islam.

“Saya yakin rakyat bijak menilai perkara ini dari neraca akademik dan kaca mata geo-politik antarabangsa,” kata Ketua Portfolio Kementerian Luar Negeri Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, dalam hal ini pihaknya boleh belajar langkah bijak bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak mengekang pengaruh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan menjalinkan hubungan diplomasi dengan negara China.

Abdul Razak berani mengambil langkah tersebut kerana China di bawah kepimpinan Mao Zedong pada ketika itu dilihat sebagai perintis kepada fahaman dan gerakan Komunis sedunia semasa Perang Dingin.

“Seperti petua peperangan Sun Tzu: mengalahkan musuh tanpa pertempuran – Almarhum Tun Razak melawan musuh “tanpa” menggunakan senjata sebaliknya pihak musuh dimusnahkan dengan senjata mereka sendiri.

“Hasil usaha almarhum Tun Razak ini bukan sahaja telah menyelamatkan Malaysia daripada jatuh ke tangan komunis bahkan dapat diterjemahkan dengan kepesatan pembangunan ekonomi yang menguntungkan kedua-dua pihak,” kata beliau.

Wan Ahmad Fayhsal antara ahli politik antarabangsa yang dijemput dalam perjumpaan anjuran Parti Komunis China (PKC) di Kedutaan Besar Republik China di Kuala Lumpur atas jemputan ini baru-baru ini.-

MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast