Ketua AMK, Adam Adli .

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama sayapnya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu memperbaiki banyak perkara sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Ketua AMK, Adam Adli  mengakui berhadapan dengan PRN akan datang, lebih banyak keluh kesah disuarakan oleh pimpinan akar umbi.

Katanya, ia melibatkan soal komunikasi antara mereka, penerangan dalam kalangan rakyat dan soal memastikan perancangan oleh kerajaan sampai serta dapat dinikmati oleh rakyat.

“Ini menuntut satu bentuk kerjasama yang jauh lebih baik daripada sebelum ini. Kita tidak boleh bekerja dalam keadaan bersendirian. Kita harus bekerja bersama.

“Maka, saya mengajak peringkat akar umbi, Ketua Cabang, Wanita dan AMK kalau sebelum ini kita kadang bergigit lidah, berselisih, berbeza pendapat dan sebagainya, harus lupakan dan bergerak sebagai satu pasukan,” katanya menggulung perbahasan pada Kongres Nasional Khas 2023 di sini hari ini.

Menurut Adam, antara negeri yang masih berdepan dengan cabaran bagi PKR dan AMK ialah Kelantan serta Kedah.

“Kita sekarang berdepan dengan PRN di enam negeri yang sebenarnya kritikal, tapi saya ucapkan penghargaan kepada AMK di beberapa negeri terutama Kedah dan Kelantan.

“Di Kelantan, kalau kita tengok rekod sebelum ini, bukan sahaja kita belum berjaya tembusi, malah kita berhadapan dengan situasi, di mana prestasi kita sedikit merudum.

“Daripada 14 cabang yang wujud di Kelantan, ketika dalam pemilihan yang lepas hanya ada tiga sahaja yang berjaya ditubuhkan di peringkat AMK,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kata kepimpinan Ketua AMK Kelantan, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi, sayap parti itu berjaya dihidupkan semula 13 Cabang, kecuali Kuala Krai.

Mengenai isu anak muda dan usaha untuk memenangi Undi-18, Adam menjelaskan, PKR sekarang bukan lagi pembangkang sebaliknya kerajaan.

“Penilaian yang akan dibuat ke atas kita bukan semata-mata siapa yang kita tampilkan, jenama yang kita jual, bukan wajah yang kita angkat dari parti kita, yang ialah bagaimana kerajaan ini mampu jaga kepentingan rakyat, negara dan mampu memimpin negara dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast