mohamad rembau
Mohamad Hasan

SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kekal menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan bagi penggal 2023-2026 hari ini.

Turut menang tanpa bertanding, timbalannya, Datuk Seri Dr. Awaludin Said yang mengisi kekosongan jawatan tersebut setelah penyandang, Khairy Jamaluddin berpindah ke UMNO Bahagian Sungai Buloh sebelum dipecat oleh parti.

Sebelum ini, Awaludin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota dan Ketua UMNO Cawangan Sri Kota merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Rembau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Rembau.

Beliau sebelum ini menyandang jawatan Ketua Penerangan UMNO bahagian berkenaan.

Dua lagi jawatan dimenangi tanpa bertanding iaitu Pengerusi Tetap, Hamdan Md. Nor dan timbalannya, Abdul Latif Che Amir.

Pengumuman bagi semua jawatan tersebut dibuat oleh Hamdan dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Rembau di sini, hari ini.

Kira-kira 700 perwakilan UMNO Bahagian Rembau mengundi untuk pemilihan peringkat pusat dan bahagian. – MalaysiaGazette