Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Othman Said berlapang dada biarpun tewas untuk berada dalam Top 5 kepimpinan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Pengerang itu berkata, dia menghormati pilihan para perwakilan.

Jelasnya, kekalahan itu sedikitpun tidak mematahkan semangatnya malah masih setia dalam perjuangan demi masa depan parti yang dicintainya.

“Walaupun percubaan kali pertama saya ini gagal, namun bagi saya keputusan saya menawarkan diri diambil hanyalah demi kebaikan parti UMNO supaya ia dilihat lebih terbuka dan progresif bagi mendepani cabaran semasa politik negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam persaingan merebut jawatan naib presiden dalam Pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026, Azalina menduduki tempat keempat.

Malah, beliau menucapkan tahniah kepada seluruh kepimpinan di semua peringkat terutamanya kepada barisan naib presiden yang baharu dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang telah dipilih.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua perwakilan diseluruh negara yang telah mengundi saya.

“Ucapan penghargaan ini saya panjangkan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023 dan sekretariat yang berusaha bertungkus-lumus memastikan pemilihan kali ini berjalan lancar.

“Akhir sekali, jiwa dan raga saya tetap bersama UMNO walau dimana jua saya berada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast