A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin digesa untuk berhenti mencari simpati rakyat dengan cubaan untuk menutup segala tingkah laku ‘buruk’ Tun Dr Mahathir selama beliau bergelar pemimpin utama.

Setiausaha PKR Cabang Ampang, Aidi Amin kecewa dengan Kadir menuding hari kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika ini sedang berhempas pulas menangani rasuah di negara ini.

Katanya, Kadir begitu berani menegur Anwar tetapi pada masa sama menutup segala kepincangan yang pernah dilakukan oleh bekas ‘bos’ beliau, ketika menjadi Perdana Menteri dua kali.

“Saya beri contoh ini, luka selalu ambil masa untuk sembuh yang kadangkala menjadi kudis. Sesetengah mereka akan menggaru kudis tersebut sehingga ia jadi satu tabiat buruk. Kadir harus menasihati Mahathir daripada melakukan tabiat buruk itu.

“Perdana Menteri ketika ini bekerja sepanjang masa untuk membantu negara kita pulih daripada kerosakan yang disebabkan oleh pentabiran sebelum ini.

“Aspek penting dalam tanggungjawabnya adalah untuk mentadbir akauntabiliti dalam mengurus perbelanjaan kerajaan serta kenalkan tadbir urus yang baik dalam kalangan kementerian dan agensi masing-masing selaras Malaysia Madani,”katanya kepada MalaysiaGazette.

Aidi Amin

Jelas Aidi, antara kerosakan yang ditinggalkan pada masa lalu termasuk perbuatan Mahathir sendiri.

“Kadir nampaknya pandai bermain-main mengikut rentak tuannya untuk peroleh simpati orang ramai. Rakyat Malaysia tidak terlepas pandang tentang perbalahan kaum sebelum ini. 

“Sudah tiba masa untuk Kadir nasihat  Mahathir terhadap sebarang tindak-tanduk serta prinsip berubah-ubah dalam permainan politiknya, ingat, seorang pemimpin dinilai dengan konsistensi tindakan dan perkataan yang digunakan secara terbuka,” katanya.

Dakwa Aidi,  Anwar sedang melakukan yang terbaik untuk menangani rasuah dan ‘membersihkan rumah’ dengan mendapatkan semula wang curi sebanyak mungkin untuk membantu mengurangkan defisit fiskal dan hutang negara yang ditinggalkan oleh pentadbiran yang tidak cekap sebelum ini.

Jelasnya, Kadir seolah-olah jauh dari kebenaran apabila beliau meminta Anwar  menggunakan kedudukannya untuk ‘move on’.

“Saya mohon supaya Kadir sebagai seorang wartawan veteran yang boleh menggunakan pengalamannya dengan lebih telus terhadap Mahathir yang kini agresif membangkitkan hasutan kaum yang sebenarnya mengancam masyarakat Malaysia.

“Hakikatnya Mahathir ditolak oleh kaum sendiri kerana sering menggelar masyarakat Melayu sebagai ‘pemalas’ walhal kebenarannya orang Melayu bekerja keras, ada yang kerja dua tiga kerja untuk mendapatkan gaji setimpal akibat dasar ekonomi yang ditinggalkan oleh Mahathirisme selepas 22 tahun.

“Mungkin Kadir sudah lupa,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast