Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bercakap pada sidang media mengenai keputusan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia 2023-2026 di Menara Dato’Onn, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan UMNO tidak menafikan faktor calon yang kerap berinteraksi dengan perwakilan menerusi media sosial banyak membantu mereka dalam memenangi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad berkata, walaupun ada calon MKT UMNO tidak mempunyai jawatan di peringkat Bahagian, namun masih mendapat undi daripada perwakilan.

“Kalau kita tengok mereka yang berjaya ini mempunyai kehadiran dalam media sosial, aktif, kedengaran, boleh dibaca kenyataan mereka dalam media sosial terutamanya muka muda atau baharu.

“Seperti Isham Jalil yang mendapat tempat dan beliau sebenarnya tak mempunyai kedudukan yang kuat dalam jawatankuasa bahagian.

“Sebelum ini Isham dilantik ke MKT, tetapi beliau boleh mendapat undi walaupun tidak mendapat tempat dalam bahagian,” katanya di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Tambahnya, mana-mana calon yang memenangi jawatan itu menunjukkan perwakilan UMNO kini benar-benar mengangkat semangat demokrasi untuk membuat perubahan.

“Perubahan itu kita boleh capai melalui proses demokrasi.

“Kita lihat Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasaran, beliau dapat undi yang tinggi walaupun sebelum ini menteri penuh.

“Tidak bermakna bahawa orang akan menolak kerana beliau tak lagi bergelar menteri penuh seperti dulu,” katanya.

Katanya lagi, perubahan ini membuktikan jawatan bukan satu ukuran untuk mendapatkan undi dalam pemilihan parti.

“Tapi ada aspek-aspek lain dari segi kehadiran di media sosial, hubungan dengan ahli-ahli biasa.

“Kita lihat Datuk Zahida Zarik Khan tetap dapat undi yang besar kerana dia aktif, orang kenal dia, tak ada jawatan dalam Puteri pun dia boleh diterima untuk jawatan MKT UMNO.

“Begitu juga Datuk Shahniza Shamsuddin, dia menang, seorang ADUN, bukan ada jawatan besar (Persekutuan) tapi boleh diterima kerana aktif di media sosial,” katanya lagi. – MalaysiaGazette