KUALA LUMPUR — Pengerusi Penaja Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin mendesak semua program anjuran Impact Malaysia di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dibatalkan.
Badrul Hisham, yang lebih dikenali Chegu Bard juga mendesak menteri KBS Hannah Yeoh meletak jawatan jika program yang menggunakan duit kerajaan itu tidak dihentikan.
“Keseluruhan program kononnya atas nama Artikel 11 anjuran Impact Malaysia yang menggunakan duit kerajaan harus dibatalkan juga. Kalau itu tidak berlaku Hannah Yeoh harus letak jawatan.
“Kita tiada masalah, Hannah Yeoh nak menganut (agama) Kristian. Tapi kamu guna bajet kerajaan, guna kedudukan menteri untuk promosikan agama Kristian di kalangan agama bukan Kristian, itu yang salah.
“Saya janji kita akan pusing seluruh negara bertemu dengan semua lapisan masyarakat, Islam atau bukan Islam, Hannah Yeoh adalah musuh keharmonian masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum memberikan keterangan berkenaan program Jom Ke Gereja, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.
Chegu Bard juga mendakwa Hannah Yeoh akan terus memperlihat seolah-olah menjadi mangsa keadaan dan cuba memanipulasi kononnya beliau ekstremis agama.
Artikel berkaitan: Ziarah Gereja: Polis akan panggil Hannah beri keterangan
Polis ambil keterangan penganjur Program Jom Ziarah Gereja esok
Tindakan batal program Ziarah Gereja dialu-alukan – Khairuddin
Kalau Projek Ziarah Gereja untuk bukan Islam, kenapa iklan belum dipinda? – MAIS
Jom Ke Gereja: Che’gu Bard balas laporan polis Hannah
Wira Putra gesa polis, MAIS siasat penganjur Jom Ziarah Gereja
Saya tahu Perlembagaan, tidak ada belia Islam masuk gereja – Hannah
Program ziarah gereja kena disertai pegawai JAKIM
Jom Ziarah Gereja: Hannah tuduh Che’gu Bard fitnah
Tegasnya, beliau tidak memusuhi mana-mana agama lain, malah akan mempertahan jika ada rumah ibadat atau sesiapa diancam kerana mengamalkan agama masing-masing.
Pada 16 Mac lalu, Chegu Bard membalas laporan polis yang dibuat oleh Setiausaha Politik KBS, Dayangku Norhazwani Awangku Marsal pada tiga hari sebelumnya.
Namun, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 14 Mac lalu menjelaskan, program Jom Ziarah Gereja tidak membabitkan individu beragama Islam.
Program itu adalah satu inisiatif bawah ‘Projek Artikel 11’ diterajui Impact Malaysia, iaitu NGO yang bernaung di bawah KBS.
Inisiatif program itu dikatakan bertujuan membuka minda belia Malaysia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan serta aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.
Bagaimanapun, program yang dijadualkan berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang dibatalkan oleh pihak penganjur. -MalaysiaGazette