Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

KUANTAN – Beberapa jalan raya persekutuan di daerah ini akan ditukar status menjadi jalan raya negeri bagi memudahkan penyaluran peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan oleh kerajaan negeri.

Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff,  langkah ini ia juga akan memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala.

“Contohnya, jalan raya yang diselenggarakan pihak Roadcare (M) Sdn Bhd, kita akan tukarkan kepada jalan negeri supaya dapat diselenggarakan oleh pihak YP Mantainance Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sesi Focus Group Discussion (FGD) di Dewan Majlis Bandar Raya Kuantan (MBK) hari ini.

Tambahnya, ia juga sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menyelesaikan isu jalan rosak berulang di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti.

“Sesi Focus Group yang diadakan hari ini juga membincangkan hal pengangkutan awam di bandar raya Kuantan.

“Jadi, kita membuat kaji selidik dan mencari alternatif tambah baik jalan raya, sistem pengangkutan awam dalam bandar dan mengatasi kesesakan lalu lintas,” jelas Mohammad Fakhruddin lagi.

Katanya, kajian lebih mendalam dijalankan untuk menangani masalah pengangkutan awam di sekitar bandar supaya ia turut menjadi pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi.

“Kita nak laporan ini disegerakan supaya apabila siapnya ECRL nanti, dapat memberi jaringan jalan raya yang lebih baik kepada pengguna,” ulasnya.

Selain itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah pun mengadakan kajian pelaksanaan ‘Smart Traffic Light‘ dalam bandar raya Kuantan yang mana laporan berkaitan akan diperoleh menjelang bulan April ini.

Ini membuktikan kerajaan negeri komited menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dan jalan raya rosak di sekitar bandar raya ini.

Mengulas berkenaan perkembangan pembaikan jalan raya di jejantas Semambu-Polisas, di sini, Mohammad Fakhruddin memberitahu,  peruntukan berjumlah RM1.2 juta sudah diluluskan.

“Peruntukan telah pun lulus. Cuma kita dalam proses nak tukar kaedah pembaikannya untuk memastikan hasil pembaikan di bawah jejantas Semambu itu lebih tahan lama berbanding kerosakan setahun sekali yang dilaporkan,” katanya.

Katanya, kerajaan bercadang untuk menggantikan kaedah pembinaan struktur turapan tar kepada asas konkrit supaya ia lebih kukuh untuk jangka masa panjang.

Baru-baru ini peruntukan kira-kira RM2 juta juga telah diluluskan Kerajaan Pusat untuk  penambahbaikan segera jalan raya tidak berlampu di jalan-jalan yang telah dikenal pasti di setiap daerah di negeri ini.- MalaysiaGazette