Duda yang bekerja sebagai jurujual dihukum penjara lima bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pagi ini setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan membuat ugutan dan mendatangkan kecederaan menggunakan keris dalam kejadian di sebuah syarikat jualan kenderaan di Beranang pada 18 Mac lalu.

KAJANG – Seorang jurujual dihukum penjara lima bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas kesalahan mengugut wanita untuk dijadikan tebusan dan mendatangkan kecederaan terhadap bekas majikannya itu dengan menggunakan sebilah keris di Beranang pada Mac lalu.

Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi telah menjatuhkan hukuman itu dalam keputusannya selepas tertuduh, Mohd Shabri Ismail, 39, yang juga seorang duda mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 18 Mac lalu, lebih kurang pukul 10.30 pagi, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Lee Kar Ming yang berusia 46 tahun.

Tertuduh yang merupakan warga tempatan didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Manakala dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh dan masa yang sama telah menakutkan secara jenayah terhadap Nur Shafeeqah Nawwarah Mohd Nizam, 27, dengan niat hendak menyebabkan rasa bimbang akan berlaku kematian atau kecederaan ke atasnya dengan mengacukan sebilah keris.

Duda berusia 39 tahun (berbaju hitam) yang bekerja sebagai jurujual telah dihukum penjara lima bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pagi ini setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan membuat ugutan dan mendatangkan kecederaan menggunakan keris dalam kejadian di sebuah syarikat jualan kenderaan di Beranang,Kajang 18 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu bertempat di Syarikat Proton, 5C, Jalan Semenyih di Kawasan Perusahaan Beranang, Hulu Langat.

Pendakwaan telah kendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman.

Tertuduh yang tidak diwakili mana-mana peguam mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Dalam rayuannya, tertuduh yang berpakaian kemeja hitam berlengan panjang dan berseluar jeans biru merayu mahkamah meringankan hukumannya memandangkan dia telah bercerai dan mempunyai tanggungan dua orang anak yang masih bersekolah serta ibu tua yang ada masalah kesihatan.

“Saya merayu mahkamah agar menjatuhkan hukuman seringan-ringannya kerana saya kerja sebagai jurujual yang hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dengan mempunyai dua anak yang masih bersekolah serta seorang ibu yang mempunyai masalah kesihatan yang perlu ditanggung.

“Saya juga tidak beristeri kerana kami sudah bercerai,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Nur Liyana meminta mahkamah menjatuhkan satu hukuman tegas supaya menjadi pengajaran  memandangkan tertuduh membuat ugutan menakutkan terhadap mangsa dengan niat hendak dijadikan tebusan manakala mangsa kedua pula tercedera selepas diugut dengan keris.

Selepas mendengar hujah itu, Majistret Nurdiyanah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan untuk kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan lima bulan penjara untuk kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau juga memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan dibuat ke atas tertuduh.

Dalam pertuduhan ketiga yang dibacakan secara berasingan di mahkamah yang sama, tertuduh juga didapati memiliki dadah berbahaya disyaki jenis nimetazepam seberat 2.55 gram.

Dengan itu tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau hukuman penjara selama tempoh maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan ketiga  di hadapan Majistret Nurdiyanah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Mei depan sebagai tarikh sebutan penyerahan laporan kimia. – MalaysiaGazette