Program simbolik bantuan Ramadan dan Hari Raya 2023 oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), di Dewan Kolej Vokasional Gombak.

GOMBAK – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan zakat sebanyak RM30,069,600 kepada 65,000 ketua keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf bagi menyambut bulan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, setiap penerima akan menerima bantuan antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah keluarga masing-masing.

“Bantuan tersebut disalurkan mulai hari ini melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai mahu pun serahan tunai.

“Penerima bantuan yang layak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat.

“Selain itu, mereka juga boleh membuat semakan status bantuan secara atas talian di ezo.zakatselangor.com.my,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program simbolik bantuan Ramadan dan Hari Raya 2023 oleh LZS di Dewan Kolej Vokasional Gombak, hari ini.

Pada program tersebut, simbolik penyerahan bantuan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid kepada 10 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Mengenai pecahan agihan zakat RM30 juta, Mohd Sabirin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM9,051,650 diagihkan kepada 18,550 penerima dalam kalangan asnaf fakir.

Manakala sebanyak RM19,399,050 diagihkan kepada 41,770 asnaf miskin dan RM1,618,900 diagihkan kepada 4,499 asnaf mualaf.

Acara tahunan itu akan disalurkan di 10 daerah di Selangor melibatkan daerah Petaling, Klang, Hulu Langat, Kuala Selangor, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langar, Sabak Bernam dan Sepang.

Penerima bantuan Ramadan dan Hari Raya 2023 Lembaga Zakat Selangor (LZS), Zainuddin Idris

Katanya, Petaling antara daerah yang diperuntukkan tertinggi sebanyak RM5.5 juta atau 11,799 penerima, Klang (RM5.4 juta atau 11,743 penerima) manakala Hulu Langat (RM4.4 juta atau 9,415) penerima.

“Daripada pengalaman kami, Petaling merupakan satu kawasan atau daerah yang sangat besar dan juga tempat tumpuan perniaga selain ramai yang berhijrah dan bermastautin di negeri Selangor.

“Peruntukkan pengagihan zakat pada 2023 ini juga dilihat meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu kerana ramai asnaf yang keluar atau tidak layak disantuni lagi,” jelasnya.

Pada bulan lalu, LZS telah menyalurkan peruntukan zakat sebanyak RM32,615,896.00 bagi membiayai persiapan persekolahan 67,798 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi persekolahan 2023.

Sementara itu mengenai kutipan zakat, beliau menyasarkan sebanyak RM1.2 bilion diperoleh pada tahun ini.

“Justeru, kita akan terus meningkatkan usaha dan motivasi untuk galakkan pembayar zakat menunaikan kewajipan mereka sebelum berakhir Ramadan,” ujarnya. – MalaysiaGazette