Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di mahkamah bagi pendegaran permohonan rayuan mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 21 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor mendapatkan pasportnya untuk sementara waktu bagi membolehkan beliau ke Singapura pertengahan bulan ini.

Isteri kepada bekas perdana menteri itu memohon untuk ke Singapura bagi membolehkannya melawat ahli keluarganya termasuk seorang cucu yang sedang sakit ketika ini.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh tiga panel hakim bersidang dipengerusikan oleh Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah.

Pasport Rosmah akan dipulangkan sementara kepada Rosmah bermula 23 Mac ini sehingga 5 Mei depan sebelum ianya dikembalikan kepada mahkamah sebelum 10 Mei ini.

Ketika prosiding pagi ini, peguam mewakili Rosmah, Datuk Jagjit Singh memberitahu anak guamnya perlu ke Singapura untuk melawat anak perempuan, menantu dan dua cucu lelaki termasuk seorang daripadanya sedang sakit ketika ini.

Kata Jagjit, Rosmah juga akan berada di republik itu selama enam minggu bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali.

Pendakwaan juga tidak mempunyai sebarang bantahan bagi permohonan tersebut.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan mahkamah selepas pendengaran permohonan rayuan mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 21 MAC 2023.

Ketika ini, Rosmah didapati bersalah atas tiga kesalahan rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak serta dijatuhkan hukum penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan juga telah memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.

Rayuan akan mula didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini.

Rosmah juga sedang berdepan dengan tuduhan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi Rosmah ditetapkan selama 15 hari antara 12 Mei dan 8 September depan. – MalaysiaGazette