KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diminta supaya mempertimbangkan penggunaan istilah oposisi terhadap pembangkang.
Ini kerana konotasi pembangkang dilihat tidak sesuai untuk digunakan bagi merujuk pembangkang kerana ia seolah-olah menunjukkan sifat suka membantah, kata Datuk Seri Shahidan Kassim, (PN-Arau).
Mengambil contoh negara jiran Indonesia, perkataan oposisi digunakan untuk wakil rakyat pembangkang yang berperanan sebagai semak dan imbang, begitu juga kerajaan negeri Johor yang menukarnya sebagai pengimbang.
“Pembangkang ni dalam bahasa Inggeris opposition…ia cantik bahasanya.
“Tetapi bila ditukar ke dalam bahasa Melayu dia jadi macam ‘kepala’, pukul orang, itu tak betul.
“Jadi, tukarlah dengan nama oposisi, nampaklah lembut sikit, tak nampak macam garang ajak bergaduh,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Shahidan lagi, pembangkang di Dewan Rakyat merupakan orang-orang yang baik dan terdiri dalam golongan ulama yang sentiasa membicarakan kepada perkara-perkara baik.
Justeru katanya, penukaran istilah pembangkang kepada oposisi itu adalah wajar dan Dewan Rakyat perlu mempertimbangkannya. – MalaysiaGazette