Mohamed Salah

LONDON – Liga Perdana Inggeris (EPL) telah mengarah pegawai perlawanan yang bertugas agar menghentikan seketika perlawanan ketika waktu buka puasa, lapor Sky Sports.

Ramadan dijangka bermula esok dan berakhir sebulan.

Jawatankuasa pengadil mahu pegawai perlawanan diberikan panduan sesuai supaya pemain dapat berbuka puasa dengan minuman, gel tenaga atau suplemen di garisan tepi padang ketika aksi dihentikan seketika.

Ramai bintang yang beragama Islam bermain di England antaranya bintang Liverpool, Mohamed Salah, pemain Chelsea, N’golo Kante dan bintang Manchester City, Riyad Mahrez.

Sejak beberapa tahun lalu pengadil diberi kebenaran untuk menghentikan perlawanan atas budi bicara mereka bagi memberikan laluan kepada pemain yang mahu berbuka puasa.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson pernah berkongsi bagaimana sebelum sepak mula perlawanan, dia akan memberitahu pengadil tentang jumlah pemain Liverpool yang akan berbuka puasa di atas padang.

Dua tahun lalu, pengadil yang mengadili perlawanan Leicester dan Crystal Palace menghentikan seketika perlawanan untuk membolehkan Wesley Fofana dan Kouyate berbuka puasa. – MalaysiaGazette