Lima mangsa nyaris maut apabila dua pokok tumbang menghempap dua kereta susulan hujan lebat dan ribut berhampiran susur keluar Jalan Ipoh ke Rawang, Selangor, petang tadi. Foto : JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Lima individu nyaris maut selepas dua pokok tumbang menghempap dua kereta akibat hujan lebat dan ribut berhampiran susur keluar Jalan Ipoh ke Rawang, Selangor, petang tadi.

Lima mangsa warga tempatan itu terdiri daripada tiga lelaki masing-masing berumur 12, 15 dan 48 tahun serta dua wanita berusia 44 dan 48 tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Morni Mamat berkata kesemua lima mangsa tersebut berjaya dikeluarkan daripada kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.07 petang tadi dan mendapati dua pokok tumbang di lokasi kejadian.

“Sebuah kereta jenis Perodua Alza di dalamnya ada tiga penumpang, manakala sebuah lagi kereta jenis Honda CRV terdapat dua penumpang terperangkap dan bomba mengambil masa 10 minit bagi membantu mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya bomba juga menerima laporan beberapa pokok tumbang pada 6.15 petang tadi di Jalan Hang Lekir, Kuala Kubu Bharu, dekat sini yang menghalang laluan kenderaan.

“Bomba mengambil masa 20 minit bagi mengalihkan dahan pokok yang menghalang laluan kenderaan tersebut dan tiada mangsa terlibat dilaporkan,” katanya.- BERNAMA