Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan (tiga kiri) memakaikan pangkat kepada Panglima Tentera Darat ke-29 baharu, Jeneral Datuk Seri Mohamad Ab Rahman (dua kanan) sambil disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua kiri) dan bekas Panglima Tentera Darat ke-28, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (kiri) pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat di Auditorium MINDEF, Wisma Pertahanan. Foto MOHD ADZLAN, 22 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-29, berkuatkuasa hari ini.

Pentauliahan itu dilakukan dalam majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, di sini.

Pada majlis tersebut, Panglima Tentera Darat ke-28, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menyerahkan tugas kepada Mohammad, disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang.

Terdahulu, Mohammad yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat sejak 19 September 2020 dinaikkan ke pangkat Jeneral bagi menjawat jawatan Panglima Tentera Darat.

Pelantikan itu dibuat berikutan Zamrose yang memegang jawatan itu sejak 2020 akan mula bercuti esok sebelum menamatkan perkhidmatan pada 21 September depan.

Mohammad mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja pada 1980.

Beliau kemudian meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di University of North Carolina at Charlotte, Amerika Syarikat.

Mohammad ditauliahkan sebagai seorang pegawai muda Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Julai 1987.

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah memegang beberapa jawatan penting seperti Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD), Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Panglima Latihan Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat. – MalaysiaGazette