KUALA LUMPUR- Baru mencecah usia 11 tahun, namun Zara Aleesya Mohamad Suadi terpaksa bersaing bersama atlet dewasa apabila turun beraksi dalam acara finswimming pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini.
Dengan gaya renang menggunakan fin atau sirip bagaikan ‘duyung cilik’, Zara dihantar ke kelas renang seawal usia enam tahun kerana ibu bapanya, Mohamad Suadi Samsuddin dan Haslinda Haron mahu anak tunggal mereka itu mempunyai aktiviti lebih bermanfaat selain mengelak daripada terjebak dengan gajet.
Namun, siapa sangka pelajar tahun lima di Sekolah Kebangsaan (P) Methodist 2 Melaka itu, bakal menjadi atlet termuda Malaysia untuk Sukan SEA kali ini setelah menceburi finswimming sejak awal tahun ini.
‘Duyung cilik’ itu mengakui dia mencintai sukan renang kerana gemar dan seronok bermain air.
“Zara teruja untuk pergi ke Sukan SEA, tapi sedikit gementar kerana masih muda. Memang gementar lawan orang dewasa, tapi dah sampai ke tahap ini takkan nak patah balik, jadi Zara akan buat yang terbaik.
“Ia jadi lebih mencabar apabila dapat tahu Zara akan lawan orang dewasa, harap Zara mampu capai sasaran yang ditetapkan. Pada mulanya agak sukar dengan jadual pembelajaran dan latihan renang yang ketat, tetapi kini sudah jadi biasa dan tidak sukar untuk menguruskan masa,” katanya ketika ditemui Bernama.
Dia turut teruja untuk menaiki kapal terbang dan pergi ke luar negara buat kali pertama sekali gus melihat persekitaran yang berbeza serta suasana temasya yang dipenuhi atlet dari 11 negara Asia Tenggara.
Zara dipilih mewakili negara bagi acara 4×100 meter (m) dan 4x50m Surface berganti-ganti, selepas meraih lima pingat emas dan satu perak pada Kejohanan Finswimming Malaysia 2023 di Seremban awal tahun ini dengan catatan masa keempat terpantas bagi acara itu.
Mengulas mengenai perbezaan sukan finswimming berbanding renang biasa, katanya ia hampir sama tetapi menggunakan peralatan seperti monofin (sirip yang memegang kedua-dua belah kaki seperti ikan duyung) atau bi-fin (satu sirip untuk setiap kaki).
Penglibatan Zara dalam bidang sukan tidak menghairankan, apabila dia lebih banyak membesar di padang kerana kedua ibu bapanya aktif dalam sukan olahraga. Mohamad Suadi merupakan guru dan jurulatih di Sekolah Sukan Melaka, manakala Haslinda adalah bekas pelari pecut peringkat kebangsaan.
Haslinda berkata pada awalnya dia dan suami terkejut melihat prestasi Zara yang dapat menyaingi perenang dewasa, dan melihat kepada potensi itu mereka memutuskan untuk mencari peralatan yang mendapat kelulusan World Underwater Federation (CMAS) dari Ukraine bagi kegunaan latihan dan kejohanan rasmi, meskipun terpaksa berbelanja hingga RM6,000.
“Dia berada dalam pasukan kebangsaan kerana prestasinya. Kami harap dia dapat berdikari ketika Sukan SEA nanti dan memberi sumbangan kepada pasukan Malaysia.
“Tiada pembangunan untuk sukan olahraga di Melaka, yang ada cuma renang dan gimrama. Jadi, kami hantar Zara menyertai sukan renang kerana ada kelab dan jurulatih khas untuk kanak-kanak, kami buat keputusan untuk latih dia dari segi ketahanan, disiplin dan padatkan jadual dia dengan aktiviti berfaedah,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Finswimming Malaysia (MFSA) S. Ravivarma optimis pasukan negara yang diwakili lapan atlet pada Sukan SEA kali ini mampu meraih pingat selepas pulang dengan tangan kosong ketika penampilan pertama mereka di Hanoi tahun lepas.
“Vietnam dan Indonesia kekal sebagai pencabar utama kerana mereka dah lama bergiat aktif dalam sukan ini berbanding Malaysia. Kita harap harap dapat memberikan cabaran kerana persiapan kali ini lebih baik dengan adanya beberapa latihan pusat, selain sukan ini juga semakin popular di Malaysia,” katanya.
Surface adalah kategori utama finswimming, yang menyaksikan perenang berlumba pada permukaan air menggunakan snorkel, monofin dan gogal, manakala bagi kategori Bi-fin atlet berenang pada permukaan air dengan memakai gogal, snorkel dan sepasang sirip menggunakan gaya bebas, biasanya untuk perlumbaan 50m dan 100m.
Apnoea pula perlumbaan bawah permukaan air dengan memakai gogal serta monofin dan menahan nafas untuk 50m, manakala Immersion merupakan konsep yang sama tetapi perenang menggunakan silinder udara mampat dengan jarak perlumbaan melebihi 100m.- BERNAMA