Mayat penunggang motosikal ditutup selepas disahkan meninggal dunia di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang juruteknik Perodua maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Persiaran Mokhtar Dahari dari arah Shah Alam menghala ke Sungai Buloh, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku apabila pemandu lori jenis Hicom Rigid tidak sempat membrek apabila motosikal yang ditunggang mangsa datang mencelah dari kiri jalan lalu melanggar belakang motosikal tersebut.

Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa bergerak ke hadapan lalu  melanggar belakang lori di hadapannya.

“Akibat perlanggaran ini, mangsa yang berumur 42 tahun maut,” katanya.

Hasil semakan pemandu lori yang melanggar mangsa mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing didapati negatif.

Mayat mangsa dibawa ke hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast