Shidan Kassim

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pada sesi petang ini kecoh seketika apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bertegang urat dengan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Situasi itu berlaku ketika Shahidan mencelah pada sesi jawapan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa bagi peruntukan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Shahidan ketika sesi perbahasan telah membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan TikTok memutuskan siaran langsung yang dibuat olehnya di Dewan Rakyat sambil mempersoalkan sama ada KKD terlibat dalam tindakan itu.

Mendengar pertanyaan tersebut, Nie Ching bingkas dari tempat duduknya sambil menjawab pertanyaan Shahidan sambil memberitahu, KKD tidak terlibat kerana TikTok bukan di bawah kawal selia kementerian berkenaan.

Nie Ching turut mencabar Shahidan supaya mengulangi dakwaan penglibatan KKD di luar sidang Parlimen supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap dirinya.

Cabaran Nie Ching (PH-Kulai) itu mencetuskan rasa tidak puas hati sehingga Shahidan bertindak mencelah dengan meninggikan suaranya.

“Saya hanya minta penjelasan. Jika (KKD) tidak (terlibat), jawab tidak. Ini cabar keluar dewan. Saya bukan gila. Banyak lagi kerja untuk rakyat,” ujarnya.

Shahidan turut menyindir Pakatan Harapan (PH) yang pernah memperjuangkan hak dan kebebasan bersuara berbincang dengan pihak media sosial untuk menyekat penyiaran kandungan tertentu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast