Kebanyakan harga bahan mentah meningkat apabila tiba bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 23 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Setiap kali tiba bulan Ramadan, seakan-akan menjadi satu kelaziman apabila harga bahan mentah makanan akan naik secara mendadak sehingga Aidilfitri.

Itu luahan kebanyakan peniaga dan pembeli yang berharap kerajaan dapat bertindak bagi mengatasi isu berkenaan apabila ia dilihat seperti tiada jalan penyelesaian.

Peniaga ikan, Muhammad Zarijan Yusuf, 43, mengakui hasil jualan bahan mentah itu tidak menguntungkan dan hanya sekadar cukup makan kerana pembekal pasti akan menaikkan harga menjelang Ramadan.

Muhammad Zarijan Yusuf

“Harap kerajaan turun pantau dan bantu kami. Dari dulu lagi bila masuk bulan puasa memang pembekal naik harga, jadi kami pun terpaksa jual mahal dan untung pun sedikit bila pembeli berkurangan,” katanya ketika tinjauan MalaysiaGazette di sini hari ini.

Katanya, antara faktor lain juga termasuk pembekal yang ‘pilih bulu’ apabila menawarkan harga lebih murah kepada penjual lain yang boleh dianggap sebagai ‘kroni’ mereka.

Suhaimi Yahya, 60,  peniaga daging lembu segar yang sudah ‘bertapak’ di pasar itu selama empat dekad lalu turut mempunyai pandangan sama.

Namun beliau mempunyai prinsip untuk tidak menaikkan harga demi kepuasan pelanggan.

Suhaimi Yahya

“Prinsip saya adalah berniaga sambil bersedekah. Memang itulah kelazimannya setiap tahun, datang Ramadan semua bahan mentah naik termasuk daging, nanti menuju Aidilfitri biasanya naik lagi tapi saya tetap jual harga biasa, saya anggap halal sahajalah janji customer happy,” ulasnya.

Menurut Suhaimi, harga yang diterima daripada pembekal sebelum ini adalah RM33 sekilogram namun ia meningkat RM2 menjelang Ramadan dan beliau menjual hanya RM36 iaitu murah RM5 daripada kebiasaan peniaga lain.

Azmi Harun

Bekas pekerja swasta, Azmi Harun mengakui kos barang dapur yang diperuntukkan setiap minggu meningkat dua kali ganda sejak kebelakangan ini.

“Sebelum ini lagi saya sudah rasa kenaikan kos barang dapur termasuk barang basah ini. Memang terkesan apabila dulu saya peruntuk RM60 seminggu tapi kini RM120 untuk beli barang yang sama,” ujarnya.

Lelaki berusia 52 tahun itu turut mengakui terkesan dengan kos sara hidup hari ini apabila beliau masih mengganggur sehingga kini selepas ditamatkan perkhidmatan ketika pandemik Covid-19.

Yuhana Salleh

Seorang lagi pekerja swasta, Yuhana Salleh, 40, juga berharap kerajaan dapat melakukan tindakan tuntas terutama membabitkan pembekal kerana berpendapat bahan mentah adalah keperluan asas yang perlu dinikmati semua pihak.

“Bila saya beli udang, sotong, ikan dan sayur, saya dapati memang ada kenaikan dalam RM2 untuk setiap kilogram bahan itu.

“Harga itu juga sama seperti Ramadan tahun lepas, saya harap kerajaan boleh buat sesuatu sebab bukan semua berkemampuan dan biarlah semua orang dapat merasai sumber makanan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harga naik bukan banyak sangat dan bukan selamanya sekadar trend jer .. wartawan MG yang tulis.
    Kerajaan PH akan segera meneliti Kes ini jika benar berlaku. Rafizi Ramli akan mencari formula mengurangkan “Bayaran” untuk rakyat menghadapi Ramadhan dan Syawal.
    eg. jika 1kg RM 100.00 ANDA boleh bayar RM 50 atau RM 30 dengan cara menimbang 500g atau 300g sahaja. Harga ini Masih murah dan mampu berbanding dinegara luar seperti AS US Kuwait atau Jordan.
    Ahmad Maslan kata kalau nak kaya kena berniaga… atau ini adalah penyebabnya..

Comments are closed.