Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekalan telur di pasaran semakin pulih dan dijangka mampu menampung  permintaan bulan Ramadan dan juga perayaan Aidilfitri.

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau berkata, susulan kenaikan subsidi oleh kerajaan dan permintaan yang berkurangan selepas Tahun Baharu Cina, bekalan telur telah menjadi stabil.

Beliau berkata, walaupun tidak sampai ke tahap boleh eksport, tetapi bekalannya cukup untuk menampung permintaan semasa perayaan.

“Berdasarkan keadaan bekalan semasa, masalah kekurangan telur tidak akan berlaku pada bulan puasa dan juga semasa raya,” katanya kepada China Press.

Yoon Yeau berkata, subsidi tiga sen sebiji telur dari Februari hingga September tahun lalu tidak mampu menampung kos yang ditanggung penternak sehingga mereka tidak dapat menikmati keuntungan.

Jelasnya, kenaikan subsidi kepada lapan sen pada bulan Oktober dan seterusnya 10 sen pada November dan Disember telah mengalakkan penternakan kerana ia akan memberi pulangan hasil kepada pengeluar.

“Dengan prospek pulangan hasil dan keuntungan, penternak telah menambahkan pembelian anak ayam dan menundakan penyembelihan ayam tua.

“Tambahan pula permintaan telur menurun 20 peratus selepas Tahun Baharu Cina, keadaan ini membantu menstabilkan bekalan telur di pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Yoon Yeau turut meminta kerajaan menyegerakan pengeluaran subsidi kepada penternak kerana mereka belum menerima subsidi telur pada tahun ini

Katanya, kelewatan dalam pembayaran akan menyukarkan operasi ladang ternakan. – MalaysiaGazette