Diyana dan Aaron.

KUALA LUMPUR – Isteri kepada pelakon popular Aaron Aziz, Diyana Halik meluahkan rasa sedih dan kesal atas apa yang menimpa suaminya selepas timbul konflik dengan pengarah filem, Syamsul Yusof yang kini berpanjangan.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Diyana menjelaskan dia tidak menyangka akan melalui detik sukar sebagai pengurus kepada suaminya kerana banyak menangis sepanjang pengurusan projek lakonan filem tersebut.

Menurutnya, dia tidak pernah berkongsi apa-apa di media sosial dan hanya bersikap tenang namun kali ini hatinya sakit dan berasa terpanggil ke depan untuk mempertahankan suaminya.

“Ini bukan disebabkan rezeki yang ditarik balik sebab saya percaya qada dan qadar. Tetapi tindakan yang dikenakan sangatlah tidak sopan,” tulisnya.

Konflik yang tercetus itu disebabkan tindakan Syamsul sebagai pengarah yang menggugurkan nama Aaron daripada filem The Original Gangster apabila mendakwa pelakon itu berdepan masalah kesihatan dan gemuk serta sudah tua.

Menerusi perkongsian tersebut, isteri kepada pelakon itu menjelaskan situasi ini banyak mengajarnya untuk melihat dengan siapa seseorang perlu meletakkan kesungguhan, dan dalam masa yang sama memiliki budi bahasa yang tinggi.

Pada perkongsian awal, Diyana mendedahkan suaminya mengalami kecederaan tulang belakang berpunca dari penglibatan beliau dalam filem KL Gangster namun hantaran tersebut dipadam dan diubah selepas ia meraih perhatian ramai.

Tambahnya, dia bersyukur kepada Allah kerana melindungi suaminya dari meneruskan projek lakonan ini.

“Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang dan sebaik-baik pelindung,” tulisnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast