Lucas da Silva. Foto Facebook Sri Pahang FC.

KUALA LUMPUR – Penyerang import Sri Pahang FC, Lucas da Silva tidak sabar untuk kembali beraksi apabila kini telah mula menjalani latihan selepas dilanda kecederaan pada awal Mac lalu.

Silva sebelum ini terpaksa diketepikan apabila berdepan kecederaan lutut pada pra musim sebelum sepak mula Liga Malaysia dan perlu menjalani proses pemulihan sekurang-kurangnya selama sebulan.

Namun, keadaannya kini semakin pulih dan telah pun menjalani latihan bersama pasukan pada Selasa lalu menyaksikan skuad kendalian Fandi Ahmad ini pastinya akan kembali menagih sentuhan bekas pemain Penang FC itu.

Bagaimanapun, Silva enggan terlalu memaksa diri dan tetap berpuas hati sekiranya Fandi memberi peluang beraksi hanya untuk beberapa minit sekalipun sebaik sahaja liga kembali bersambung pada 31 Mac ini.

“Ya, saya dah kembali berlatih dan rasa lebih baik daripada sebelum ini di mana otot di bahagian lutut saya juga semakin kuat.

“Sekarang saya rasa lebih yakin dan pergerakan juga semakin baik, jadi harapnya semua akan berjalan lancar untuk aksi seterusnya nanti.

“Rasa sakit pun dah tiada, cuma saya tidaklah mahu terlalu paksa diri, tetapi ianya sudah cukup baik kalau jurulatih bagi peluang saya bermain hanya untuk 20 hingga 30 minit sahaja.

“Saya serahkan semuanya kepada beliau untuk menentukan dan fokus saya adalah untuk terus cergas supaya dapat kembali seperti biasa,” katanya.

Bercakap mengenai rakan sepasukannya, Kpah Sherman yang kini diletakkan sandaran utama di bahagian depan, Silva tidak menolak dia telah melakukan tugas yang cukup baik sebagai seorang penyerang.

Dan sudah tentu, walaupun agak bergelut tanpa dirinya, Silva menganggap Sri Pahang telah berjuang dengan cemerlang untuk kekal tanpa tewas dalam lima perlawanan setakat ini.

“Saya bekerja dengan cukup kuat pada awalnya sebelum cedera dan sekarang melihat rakan-rakan juga telah melakukan tugas dengan baik, saya rasa bangga.

“Pada awalnya, memang semua orang menjangkakan saya dan Kpah (Kpah Sherman) akan menjadi gandingan yang baik, tetapi apabila saya cedera, mereka yang lain juga tetap beraksi dengan baik.

“Tetapi, saya tidak putus asa dan apabila saya dah kembali berlatih, rakan-rakan yang lain tetap beri semangat untuk saya dapatkan balik keyakinan diri,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast