MELAKA – Seramai 25 orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menerima pentauliahan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam (PA), baru-baru ini.
Pentauliahan tersebut berlangsung di Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali ke-13 (tahun 2022) di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Komandan Kor SISPA UTeM, Penolong Persuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam, Profesor Dr. Kor SISPA merupakan salah satu cabang platform pilihan yang tepat buat mahasiswa untuk menjana nilai tambah di samping penguasaan bidang akademik.
Katanya, mereka dilatih dengan penglibatan dalam pelbagai aktiviti termasuklah kesukarelawanan melalui program berbentuk khidmat komuniti, kemasyarakatan, badan beruniform dan sebagainya.
“Sebagai contoh, pihak UTeM telah menggerakkan penglibatan Kor SISPA dalam aktiviti berkaitan pandemik lalu melalui penugasan di bilik gerakan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Di samping itu penglibatan mereka turut dirasai bilamana bersama membantu melancarkan proses kemasukan semula pelajar baharu UTeM, baru-baru ini,” ujarnya sempena dengan majlis tersebut.
Tambah Dr Zulkifilie lagi, menerusi ruangan ini, UTeM telah berjaya melahirkan seramai 72 orang Leftenan Muda (PA) sejak penubuhan Kor SISPA sejak tahun 2016.
Pada majlis pentauliahan yang sama, Muhamad Yusof Heiry Yanto Masrupi, 26, graduan tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dianugerahkan Pegawai Kadet Kor SISPA Terbaik UTeM 2022.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Kor SISPA UTeM bagi sesi 2020/2021 dan 2021/2022 pernah menjadi sukarelawan MyVAC (Malaysia Vaccine Support Volunteers).
Mengulas pembabitan beliau dalam Kor Sispa, Muhamamd Yusof berkata, sepanjang saya menyertai Kor SISPA banyak ilmu serta pengalaman yang saya perolehi di samping pembentukan disiplin yang tinggi dan sikap menepati masa.
“Melalui medan Kor SISPA juga saya dapat mengasah kemahiran insaniah serta pengetahuan melalui beberapa kursus yang dijalankan seperti Kursus Asas, First Responder Life Support, Metodologi, Bakal Pegawai dan Pengurusan Pusat Pemindahan.
“Kursus ini memberi nilai tambah kepada saya agar terus menzahirkan semangat kerja dalam pasukan, memupuk nilai jati diri yang tinggi dan cintakan tanahair,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette