Ahmad Zahid Hamidi

GOMBAK – Keputusan melantik mereka yang tewas dalam Pemilihan UMNO baru-baru ini untuk memegang jawatan tertentu bukti parti itu sedang dikukuhkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu sekali gus menepis tohmahan segelintir pihak bahawa parti keramat itu dalam keadaan cacamarba.

“Pesan saya kepada mereka adalah yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.

“Maka keterangkuman ini saya buat demi kukuhkan UMNO yang pada mata orang luar ia sedang berada dalam keadaan cacamarba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batu 8 di sini semalam.

Ahmad Zahid menjelaskan, setiap keputusan yang dibuat dalam pemilihan tersebut mencerminkan satu gelombang yang positif.

Katanya, natijah daripada suara akar umbi itu menjadi pembakar semangat untuk UMNO terus maju ke hadapan dengan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan ahli parti.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini memutuskan seramai 13 ahli baharu diumum sebagai ahli MKT iaitu tambahan kepada 25 yang dipilih dalam pemilihan pada Sabtu lalu.

Antara yang dilantik oleh Ahmad Zahid ialah Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang turut memegang jawatan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

Sebelum ini, Shahrizat tewas kepada Datuk Seri Noraini Ahmad dalam merebut jawatan Ketua Wanita UMNO. – MalaysiaGazette