Anifah Aman

LABUAN – Dewan Perdagangan Labuan (LCC) berharap Senator Datuk Seri Anifah Aman yang baru dilantik dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi pulau bebas cukai itu.

Pengerusinya Daniel Doughty berkata pelantikan Anifah adalah langkah positif ke arah menggalakkan pembangunan ekonomi Labuan yang dapat menambah baik kebajikan rakyat.

“Sebagai seorang tokoh terkenal dalam politik Malaysia dan bekas Menteri Lua, beliau membawa pengalaman luas dan pengetahuan kepada peranan baharunya ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Doughty berkata Anifah mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam hal ehwal luar negara, rangkaian dan pengetahuan yang luas di peringkat persekutuan amat berharga dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi Labuan dan menarik lebih banyak pelaburan asing.

Beliau berkata pulau itu Labuan mempunyai rancangan pembangunan ekonomi sambil beralih daripada pemikiran ekonomi silo.

“Labuan boleh menjadi hab logistik yang menyokong bandar di tanah besar (Sabah dan Sarawak) dan memainkan peranan penting sebagai pemboleh ekonomi,” katanya.

Dengan strategi sedemikian, Anifah boleh membantu mengukuhkan ekonomi dan menyelaraskan dasar yang memberi kesan kepada ekonomi Labuan.

“Dengan pemulihan aktiviti pemindahan di pelabuhan dan kelulusan enam kawasan aktiviti pemindahan untuk operasi kapal di Victoria Bay Labuan, ia bersedia untuk menjadi hab pemindahan kapal bagi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA),” katanya.

Doughty berkata perkembangan itu penting untuk Labuan dan Sabah boleh memanfaatkannya.

“LCC mahu Anifah memperjuangkan keperluan Labuan, antaranya memulihkan hab Halal yang telah lama tidak aktif dan menukar kawasan itu menjadi zon komersial bebas.

“Ini akan membawa masuk pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam aktiviti pelabelan semula dan pembungkusan semula,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga peluang untuk menempatkan semula terminal feri ‘roll on-roll off’ untuk mewujudkan lokasi kastam, imigresen, kuarantin dan keselamatan (CIQS) baharu antara Tanjung Aru Labuan dan Mempakul di Sabah.

Terdapat potensi untuk Labuan untuk berfungsi sebagai zon ekonomi serantau khas di bawah bidang kuasa negeri dan kerajaan persekutuan dan meluaskan zon tersebut ke daerah tanah besar yang berdekatan, katanya.

Kenyataan itu berkata LCC berharap dapat bekerjasama rapat dengan Anifah untuk merealisasikan potensi penuh Labuan.

“Dengan kepimpinan dan komitmen beliau, LCC yakin ekonomi Labuan akan terus berkembang maju,” katanya.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Anifah angkat sumpah sebagai senator

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast