ACP Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Gara-gara tidak berpuas hati ditegur bapa kerana membaca doa makan dengan laju semasa berbuka puasa, seorang penganggur bertindak membelasah bapa kandungnya menggunakan kerusi sehingga menyebabkan kecederaan.

Nasib malang itu menimpa mangsa ketika siap sedia untuk berbuka puasa bersama keluarga termasuk suspek di rumah mereka yang terletak di Bandar Puncak Utama di Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, warga emas yang berusia 63 tahun itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang  lebih kurang 9.37 malam tadi.

“Siasatan polis mendapati punca kejadian disebabkan suspek yang berpuasa bertindak membaca doa makan dengan laju untuk berbuka dan perbuatan itu ditegur oleh mangsa.

“Suspek yang tidak berpuas hati akibat ditegur ayahnya tiba-tiba bertindak agresif menghayunkan kerusi meja makan ke kepala mangsa sehingga patah kaki kerusi,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Zaid lagi, salah seorang anak mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek telah meleraikan pergaduhan itu sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan segera.

Suspek yang berusia 34 tahun telah ditahan dan kerusi makan yang digunakan untuk memukul mangsa telah dirampas.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di dahi dan tapak tangan kanan.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017,  jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh boleh sampai setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Ujian saringan air kencing suspek didapati negatif dadah tetapi dia memiliki dua rekod jenayah dan dadah.

Malah katanya, suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan didapati negatif dadah dan semakan mendapati suspek juga memiliki dua rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Suspek direman selama tiga hari sehingga 27 Mac ini untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Doa makan tidak disyariatkan dalam sunnah. Sunnahnya mensyariatkan lafaz Bismillah bila nak mula makan.

Comments are closed.