KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) yakin merampas Selangor, Negeri Sembilan serta memenangi sebahagian kerusi di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada akhir Julai atau awal Ogos depan.
Ketua Pengarah PRN PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keyakinan itu berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan parti gabungan itu termasuk melancarkan jentera pilihan raya dikenali Gempur 100 Hari sehingga 28 Jun ini.
Tambahnya, PN turut menubuhkan jawatankuasa peringkat negeri bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) hingga Parlimen selain melantik koordinator setiap negeri yang terlibat PRN.
Namun menurut beliau, strategi PN lain tidak boleh diumumkan kerana ia merupakan rahsia parti gabungan itu.
“Kita sudah muktamad sebahagian kerusi di peringkat negeri yang hampir selesai dan tunggu peringkat Pusat buat ubah suai sikit dan ia berlangsung dalam suasana harmoni.
“Yang kerusi bertindih negeri akan diselesaikan di pusat. Jentera PRN juga sudah kita lancarkan dan buat Gempur 100 Hari bermula beberapa hari lepas sehingga 28 Jun ini dan selama 100 hari kita susun dan tidak boleh beritahu dan ia rahsia kami.
“Kita turut tubuh jawatankuasa peringkat negeri sampai Parlimen dan DUN bagi jentera pilihan raya PN ini dan ia solid peringkat negeri, Parlimen dan DUN di semua negeri.
“Khusus negeri ada PRN kita lantik mas’ul macam koordinator dalam kalangan pimpinan seperti Negeri Sembilan ada Peja (Datuk Seri Faizal Azumu), Pas ada Datuk Takiyuddin Hassan, di Pulau Pinang ada Ustaz Idris Ahmad, di Selangor dari Bersatu iaitu Datuk Radzi Jidin.
“Jadi, semua isu-isu tidak perlu bawa ke Pusat dan boleh bincang dalam kalangan mas’ul di mana dapat selesai dengan cepat dan pantas buat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria Bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, barisan tertinggi parti selain Menteri Besar dalam kalangan pemimpin Pas.
Awal minggu lalu, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN bersetuju melantik Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya gabungan itu.
Mengenai persiapan PRN, PN bersetuju logo gabungan itu digunakan di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, manakala logo Pas digunakan di Kelantan dan Terengganu.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi memberitahu, PN akan menampilkan calon Menteri Besar (MB) sebagai poster boy pada kempen PRN nanti.
“Di Negeri Sembilan ada calon MB dari PN, Selangor dari PN juga dan itu poster boy dan kita akan highlight calon MB kita.
“Namun calon-calonnya masih rahsia,” katanya. – MalaysiaGazette
Lebai.. lebai.. lebai.. besar sungguh angan2 mu itu. Macam la parti lain dh takde langsung penyokong..