Umi Umairah Mohd Sapri menerima sumbangan dana endowmen UMT yang disampaikan oleh Naib Canselor UMT.

KUALA TERENGGANU – Sejumlah RM1.069 juta dana endowmen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah diagihkan kepada pelajar sejak inisiatif itu dilaksanakan lebih 10 tahun lalu.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, jumlah itu telah memanfaatkan 151 pelajar yang terpilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh barisan panel pemilih.

Dermasiswa Endowmen UMT merupakan kategori penajaan dana endowmen UMT berbentuk bantuan kewangan minimum sebanyak RM3,000.00 setahun.

Katanya, dana itu hasil sumbangan agensi korporat serta individu yang prihatin akan kebajikan mahasiswa yang memerlukan.

“Bantuan ini bersumberkan kepada hasil sumbangan penderma yang terdiri dari sumbangan korporat, individu luar dan warga kerja UMT yang sangat prihatin dengan
kesusahan yang dialami oleh segolongan pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya pada Majlis Apresiasi Endowmen UMT 2023 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, seramai 22 pelajar peringkat prasiswazah menerima bantuan penajaan pengajian melibatkan dana berjumlah RM175,500.00.

Mengulas lanjut, Dr. Mazlan menyeru orang ramai untuk bersama-sama pihak universiti dalam usaha meringankan beban pelajar.

“Program penajaan merupakan komitmen pihak UMT dalam membantu pelajar terutamanya golongan asnaf dan B40 bagi memperkasakan taraf pendidikan untuk mengubah nasib keluarga.

“Kami bersyukur dan terima kasih kepada penyumbang yang prihatin kerana menyokong usaha universiti dan kami sentiasa terbuka untuk masyarakat luar sana turut serta bersama-sama dalam membantu mahasiswa yang juga generasi pelapis harapan negara,” tambahnya.

Sementara itu, penerima dana endowmen UMT, Nur Fatihah Samri, 19, menzahirkan rasa syukur atas penerimaan penajaan yang ditawarkan UMT.

“Alhamdulillah, penajaan ini amat saya harapkan. Keluarga mengalami kekangan kewangan yang serius selepas ayah disahkan OKU akibat terlibat dalam kemalangan. Manakala ibu pula mengambil keputusan untuk berkahwin lain.

“Jadi, saya hilang punca bergantung untuk meneruskan pengajian di kampus selain masih ada adik yang bersekolah,” katanya.

Melahirkan penghargaan kepada UMT atas dana penajaan diberikan, Nur Maisarah Ahmad, 19, anak kelahiran Kelantan rasa lega selepas diumumkan sebagai penerima dana
endowmen UMT.

“Saya tidak pernah kenal bapa sejak lahir kerana ibu berpisah ketika saya dalam kandungan. Dugaan bertimpa setelah ayah tiri dipenjara. Ibu hanya sebagai suri rumah.

“Penajaan ini memberi nilai yang amat besar buat saya untuk meneruskan pengajian seterusnya mengubah nasib keluarga,” tambah pelajar ini. – MalaysiaGazette