Vladimir Putin. Foto Twitter

ANKARA – Rusia akan menyiapkan pembinaan sebuah kemudahan penyimpanan khusus untuk senjata nuklear taktikal di negara jiran, Belarus, menurut Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Rusia telah menyerahkan kompleks Iskander yang boleh menyimpan senjata nuklear, kata Putin dalam temu bual dengan rangkaian televisyen, Rossiya-24, semalam, lapor agensi berita, Anadolu.

Menurut beliau, rakan sejawatnya, Alexander Lukashenko telah mengutarakan isu penempatan senjata-senjata nuklear taktikal Rusia di Belarus apabila Kesatuan Soviet (USSR) runtuh pada awal 1990-an.

“Kami setuju dengan Lukashenko bahawa kami akan menempatkan senjata-senjata nuklear taktikal di Belarus tanpa mencabul rejim tidak bercambah,” katanya seperti dipetik agensi berita Rusia, Tass.

Amerika Syarikat (AS) telah lama menempatkan senjata sedemikian di beberapa negara dan adalah sesuatu yang normal dalam permintaan Balarus, tambah beliau.

Putin berkata, Rusia telah mengerahkan 10 pesawat, semuanya berkeupayaan membawa senjata nuklear taktikal, ke Belarus.

“Sepuluh pesawat sedia untuk menggunakan senjata jenis ini. Kami telah memindahkan kepada Belarus, kompleks Iskander sangat efektif, ia juga boleh jadi pembawa (senjata nuklear taktikal,” ujarnya.

Moscow akan mula melatih kru pada awal April, kata Putin sambil menambah, Rusia akan menyiapkan pembinaan kemudahan penyimpanan senjata-senjata nuklear taktikal di Belarus pada 1 Julai dan kawalan senjata tidak akan dipindahkan ke Minsk.

Sejak Rusia memulakan peperangan dengan jirannya, Ukraine 13 bulan lalu, pemimpin Barat menyatakan kekhuatiran bahawa Moscow mungkin mencetuskan konflik nuklear berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dilakukan Moscow. – Agensi