Dua adik beradik hadir ke mahkamah bagi pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM25,000 kepada seorang pegawai Polis tahun lepas di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 MAC 2023.

KUALA LUMPUR –  Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan memberi rasuah berjumlah RM25,000 kepada seorang pegawai polis tahun lepas.

Tertuduh, pembantu kedai, A. Ragubathi, 42, dan abangnya, A. Vijayakumar, 47, yang juga pengarah syarikat membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka dengan niat bersama telah memberikan satu suapan iaitu wang berjumlah RM25,000 kepada seorang Penolong Penguasa Polis yang bertugas di Cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan untuk melepaskan diri daripada dikenakan tindakan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Dan Bar Happy Time, di B-0-11, Plaza Metro Prima Jalan Metro 1, Metro Prima, Kepong, Kuala Lumpur pada 28 Jun tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, Ragubathi dan Vijayakumar didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) Akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Semasa prosiding berlangsung,Timbalan Pendakwa Raya Irna Juliza Maaras menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain memohon syarat tambahan melapor diri di SPRM Selangor sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam mewakili kedua-dua tertuduh, R.Mahendren Naidu memohon kadar jaminan anak guamnya dikurangkan memandangkan masih berada dalam jaminan SPRM sebanyak RM10,000 setiap seorang.

“Anak guam merupakan pasangan adik-beradik dan menjaga ibu mereka yang perlu mendapatkan rawatan akibat penyakit strok pada setiap bulan,” katanya.

Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, Hakim Azura membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang.

Mahkamah juga menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette