Bang Hong (kiri) dan Rais (tengah) bertanyakan sesuatu kepada peniaga di Glam Ramadan Bazar Klebang, Melaka sambil diperhatikan Rashid malam tadi.

MELAKA – Penganjuran sulung Glam Ramadan Bazar Klebang sepanjang Ramadan ini dilihat menjadi platform terbaik bagi peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini memperkenalkan produk mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, promosi di bazar Ramadan terpanjang di Malaysia itu mampu menjadi titik mula produk negeri Hang Tuah ini ke persada dunia jika ianya mendapat sambutan jangkaan 1.5 juta pengunjung.

Menurutnya, seramai kira-kira 177 peniaga yang mengambil bahagian pada bazar tahun ini juga diyakini mampu menjadikan bazar itu itu sebagai bazar ikon yang mengharumkan DUN Klebang.

“Hari ini saya dapat lihat sendiri ramai peniaga dari kategori PMKS berpeluang berniaga di sini untuk melatih mereka bagi mengembangkan lagi perniagaan ke peringkat seterusnya.

“Ini menjadi satu platform terbaik untuk mereka menjadi perusahaan berskala makro pada masa hadapan sekaligus meningkatkan ekonomi rakyat negeri Melaka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Glam Ramadan Bazar Klebang di sini malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri merangkap ADUN Paya Rumput Datuk Rais Yasin dan Pengurus Besar Glam Bazar Klebang Rashid Omar.

Sementara itu, Rashid berkata, ini adalah tahun pertama pihaknya dilantik menjadi penganjur dan memperkenalkan konsep glamor dan moden serta menyasarkan kira-kira 1.5 juta penunjung sepanjang 30 hari penganjurannya.

“Sebagai penghargaan kepada pengunjung, kami menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM50,000 iaitu hadiah utama berupa sebuah kereta Proton Saga dan motosikal Yamaha Y16ZR.

“Syaratnya, pengunjung hanya perlu berbelanja serendah RM30 dalam satu resit di mana-mana gerai di sini,” katanya sambil menambah turut mengadakan persembahan artis seperti Datuk Awie dan Erra Fazira pada 2 April ini.

Antara pengisian lain adalah program berselawat, khatam al-Quran pada malam Nuzul al-Quran dan agihan bubur lambuk malah turut menyediakan dua khemah untuk peniaga dan pengunjung solat Tarawih. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast