KUALA LUMPUR – Kadar Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang turun kepada negatif 0.8 peratus pada Februari 2023 berbanding 1.3 peratus pada Januari 2023.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, penurunan ini merupakan kadar negatif yang direkodkan sejak Januari 2021 disebabkan oleh kesan asas dan harga komoditi utama yang
lebih rendah.

Trend penurunan ini terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam sektor pertanian, perhutanan & perikanan dan perlombongan. indeks pertanian, perhutanan & perikanan
turun negatif 26.1 peratus (Januari 2023: -20.9%) dengan indeks buah tandan segar kelapa sawit melaporkan penurunan negatif 40.5 peratus pada Februari 2023.

Pada masa yang sama, indeks perlombongan turun kepada negatif 6.5 peratus (Januari 2023: -2.2%) disebabkan terutamanya oleh penurunan indeks Pengekstrakan petroleum mentah sebanyak negatif 16.1 peratus.

Sementara itu, indeks Pembuatan meningkat 3.0 peratus pada Februari 2023 menyederhana daripada 4.5 peratus pada bulan sebelumnya disebabkan oleh peningkatan indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (8.5%).

Manakala bagi sektor utiliti, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 3.7 peratus dan 1.0 peratus.” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan menurun kepada negatif 0.2 peratus pada Februari 2023 berbanding negatif 0.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Semua sektor mencatatkan penurunan kecuali sektor bekalan elektrik & gas yang kekal tidak berubah.

Indeks perlombongan menurun kepada negatif 0.9 peratus, kesan daripada indeks pengekstrakan petroleum mentah yang susut kepada negatif 1.2 peratus pada Februari 2023.

Indeks pembuatan turun kepada negatif 0.2 peratus disebabkan oleh penurunan indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-0.9%), pembuatan kimia & produk kimia (-0.8%) dan pembuatan produk getah & plastik (-0.6%).

Selain itu, sektor Pertanian, perhutanan dan perikanan turun kepada negatif 0.1 peratus, disebabkan oleh penurunan indeks Perikanan (-3.9%) dan penanaman tanaman kekal
(-0.1%).

Sementara itu, indeks bekalan air turun negatif 0.3 peratus.

Mohd Uzir menambah, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus menurun sebanyak negatif 16.9 peratus pada Februari 2023 (Januari 2023: -12.4%) berikutan penurunan negatif 20.3 peratus dalam bahan bukan makanan.

Walau bagaimanapun, bahan perantaraan, bekalan & komponen meningkat sederhana 3.3 peratus pada Februari 2023 (Januari 2023: 5.1%) disebabkan oleh bekalan
(10.8%), bahan api yang diproses & pelincir (8.9%) dan bahan & komponen untuk pembinaan (4.3%).

Barang siap mencatatkan peningkatan 4.0 peratus (Januari 2023: 4.5%) disebabkan oleh indeks kelengkapan modal (4.9%) dan barangan pengguna siap (3.0%).

Dari segi perbandingan bulanan, indeks barang siap kekal tidak berubah pada bulan ini.

Walau bagaimanapun, bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya turun negatif 0.6 peratus manakala indeks Bahan perantaraan, bekalan dan komponen turun negatif 0.2 peratus. – MalaysiaGazette