KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mengungkit kembali tindakannya membela Pas ketika kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) mengambil alih Kelantan setelah mengisytiharkan darurat di negeri itu dahulu.
Menurut beliau, peristiwa itu berlaku dalam sidang Dewan Rakyat pada 8 November 1978.
Kit Siang berkata, beliau tidak akan berbuat demikian sekiranya DAP mempromosikan Islamofobia seperti yang didakwa oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Abdul Hadi sendiri pernah berkata semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada Mei 2014 yang Pas bekerjasama dengan DAP ini adalah tanda penghargaan untuk tindakan DAP menyokong Pas apabila kerajaan Kelantan ditumbangkan pada 1978.
“Abdul Hadi mengatakan bahawa DAP yang mempertahankan Pas apabila kerajaan Kelantan tumbang kepada BN dan menyebabkan huru-hara ketika itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam satu kenyataan 28 November lalu, Abdul Hadi berkata: “Sikap DAP terhadap kaum bumiputera bukan Islam diminta maaf, pada masa yang sama menyebarkan Islamofobia kepada mereka.”
Kit Siang seterusnya meminta Abdul Hadi meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.
Kit Siang menambah, beliau tidak memerlukan kata-kata penghargaan daripada Abdul Hadi, sebaliknya Presiden Pas itu diminta bersikap jujur dan berterus terang.
“Bukannya menipu, menabur fitnah dan menyebar berita palsu untuk mengejar kepentingan politik sendiri,” jelasnya.
Beliau turut mendakwa, Ahli Parlimen Marang itu pernah memfitnah DAP berhubung isu ratitifikasi Konvensyen Antarabangsa untuk Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) pada 2018.
Kit Siang berkata, DAP bukan dalang di sebalik rancangan untuk meratifikasi ICERD.
“Adakah Abdul Hadi akan menarik semula fitnah ini dan meminta maaf kepada DAP untuk apa yang berlaku pada 2018?” soalnya. – MalaysiaGazette