Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas Majlis Pengumuman Dividen 2022 LTAT dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Aplikasi MyWira di Menara Chulan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Tidak sampai tiga peratus anggota dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri dalam kalangan bukan bumiputera.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Rakyat sambil menegaskan ATM tidak pernah menetapkan kuota pengambilan mengikut kaum.

Mohamad berkata, penyertaan yang kurang daripada bukan bumiputera disebabkan mereka tidak berminat atas beberapa faktor.

“Kerja askar ini terutama Lain-Lain Pangkat (LLP) bertugas 24 jam, bukan kerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang atau 9 pagi hingga 5 petang.

“Kadang-kala buat operasi duduk dalam hutan. Tiga bulan meninggalkan keluarga. Gaji tak seberapa sangat. Gaji Lain-Lain pangkat ini permulaannya RM2,498 termasuk elaun.

“Bagi bukan bumiputera ini kurang menarik. Kita tidak ada kuota.
Memang kita minta ramai (bukan bumiputera) masuk tentera masalahnya ramai yang tak minat,” katanya.

Mohamad menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang bertanya usaha yang diambil Kementerian Pertahanan menarik bukan Melayu untuk menyertai ATM.

Ini supaya pertahanan negara mencerminkan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan penjagaan kedaulatan negara dipikul oleh semua bangsa.

“Kerja yang susah, kerja yang kurang lumayan gaji kerja tak kira masa, tidak ada cuti. Raya tak bersama anak isteri.

“Ini merupakan kekangan yang dihadapi ATM dan Kem Pertahanan mengamit lebih ramai penyertaan anak-anak Malaysia bukan kaum bumiputera,” kata Mohamad.

Sementara itu menurut beliau ATM mengambil antara 6,500 hingga 7,500 anggota baharu setiap tahun bagi mengisi kekosongan anggota yang bersara awal dan wajib.

Pengambilan bagi jawatan LLP hanya memerlukan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

ATM melalui Kementerian Pertahanan sentiasa mengadakan pelbagai cara untuk mengamit anak Malaysia berkhidmat sebagai tentera.- MalaysiaGazette