Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kenaikan kadar faedah semalaman (OPR) sebanyak empat kali tahun lepas didorong terutamanya oleh permintaan tinggi susulan pemulihan ekonomi.

Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan, inflasi pada awal 2022 didorong oleh tekanan kos namun untuk tempoh selanjutnya Jawatankuasa Monetari (MPC) mendapati terdapat beberapa tanda menunjukkan inflasi juga didorong permintaan.

Sehubungan itu, OPR dinaikkan sebagai langkah awal untuk mengurangkan risiko permintaan berlebihan yang mendorong harga meningkat lebih tinggi.

Katanya, langkah itu perlu diambil untuk mengelakkan tekanan harga secara meluas dan jangkaan inflasi menjadi tidak terkawal sehingga memudaratkan ekonomi dan menghakis kuasa beli dan simpanan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Menurut BNM, susulan pelarasan OPR, kaedah faedah dalam pasaran borong dan runcit menunjukkan trend menaik.

Dalam pasaran runcit katanya, kadar pulangan kepada pendeposit dan kadar pinjaman secara amnya meningkat selaras dengan kenaikan OPR.

“Jika MPC menunggu sehingga inflasi yang tinggi menjadi tidak terkawal sebelum mengambil tindakan, OPR mungkin perlu dinaikkan lebih cepat dan pada kadar yang lebih besar.

“Pada masa yang sama, kesan negatif inflasi yang tinggi akan dirasai merentas semua segmen ekonomi khususnya oleh golongan berpendapatan rendah.

“Semua faktor ini akan menyebabkan kerugian yang lebih besar kepada ekonomi,” katanya dalam Laporan Tahunan BNM 2022 yang diterbitkan hari ini.

Menurut BNM, inflasi yang tinggi juga menjejaskan perniagaan disebabkan kos meningkat untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan atau jualan yang lebih rendah disebabkan permintaan yang berkurang.

Hal ini mendorong kepada kegiatan ekonomi dan pertumbuhan yang lebih perlahan.

Namun BNM mengakui, kenaikan OPR memberi kesan terhadap peminjam untuk membayar balik pinjaman mengikut jenis tertentu.

Bagaimanapun, pinjaman kadar tetap seperti kebanyakan pinjaman kenderaan yang mencakupi 50 peratus pinjaman isi rumah tidak terjejas.

Tahun lalu, OPR dinaikkan secara beransur-ansur pada Mei, Julai, September dan November dengan menyaksikan peningkatan keseluruhan 100 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding 1.75 peratus 2020.- MalaysiaGazette