Seorang wanita memuat naik gambar ayam mentah yang dibelinya dari sebuah pasar raya di Kuala Kangsar, Perak yang didakwa tidak disembelih mengikut syarak.

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah pasar raya di Kuala Kangsar menjual ayam segar yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan membabitkan dakwaan tersebut meskipun tidak menerima aduan secara rasmi.

“Siasatan akan dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Halal JAIPk walaupun dakwaan itu hanya dibuat di media sosial.

“Ini kerana kita mahu pastikan umat Islam makan yang halal lagi Toiyiba (suci),” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang wanita di Facebook yang mendakwa terdapat kesan tebuk pada leher ayam yang dibelinya, sekali gus menyimpulkan bahan mentah itu tidak halal.

Wanita berkenaan turut memuat naik gambar ayam yang dibelinya selain meminta warga net lain membincangkan mengenai tindakan pekerja pasar raya terbabit yang sering berdalih apabila diminta memberikan bersama kepala ayam segar ketika ia dibeli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast