KUALA LUMPUR – Walaupun sesetengah peminjam masih terus mengalami masalah kewangan kerana pemulihan yang tidak sekata dan kos sara hidup yang semakin meningkat, kes kebankrapan yang lebih rendah direkodkan pada tahun 2022 (5,695 kes; 2021: 6,554 kes).

Keadaan ini merupakan kesan pelbagai faktor, termasuk nilai ambang kebankrapan yang dinaikkan kepada RM100,000 daripada RM50,000, berkuat kuasa pada bulan September 2021.

Bagi bank-bank, tindakan kebankrapan juga kekal sebagai jalan terakhir kerana mekanisme penyelamat lain ada tersedia termasuk rujukan kepada AKPK, serta perkhidmatan Pengaturan Sukarela yang ditawarkan oleh AKPK (Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit) yang membantu peminjam yang mengalami tekanan kewangan untuk mengawal semula kewangan mereka.

Pendaftaran dalam Program Pengurusan Kredit yang ditawarkan oleh AKPK meningkat kepada 34,670 peminjam pada tahun 2022 berbanding dengan 23,711 pada tahun 2021.

Peminjam tertekan juga terus memanfaatkan program bantuan bayaran balik pinjaman yang ditawarkan oleh bank-bank walaupun sesetengah peminjam masih terus mengalami masalah kewangan kerana pemulihan yang tidak sekata dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sebelum ini, nilai ambang kebankrapan telah dinaikkan sementara kepada RM100,000 daripada RM50,000 berkuat kuasa pada bulan Oktober 2020 di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020.- MalaysiaGazette