Kasim Mansor menyempurnakan simbolik perasmian Klinik Pergigian Alawa.

KOTA KINABALU – Klinik Pergigian Alawa, Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) sedia untuk menampung keperluan perkhidmatan pergigian bukan hanya kepada warga
kakitangan dan pelajar UMS sahaja, tetapi turut diperluaskan kepada orang awam.

Pengarah HUMS, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang berkata, ini selepas dua unit bilik pergigian di Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS sebelum ini telah dinaik taraf untuk menjadi sebuah Klinik Pergigian yang merupakan salah satu dari Projek Pembangunan HUMS di bawah peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Katanya, rawatan pergigian yang mula diperkenalkan pada tahun 2007 di PRW sebelum ini hanya menawarkan rawatan asas seperti cabutan gigi dan scaling kepada pesakit dalam kalangan warga kakitangan dan pelajar UMS sahaja kerana fasiliti yang kurang lengkap dan ruang yang sempit.

“Ruangan yang sempit pada ketika itu telah dinaik taraf ke ruangan yang lebih luas dan mempunyai fasiliti yang lebih canggih sebelum ini, dan sudah pun memadai untuk diperluas penggunaannya kepada orang awam.

“Salah satu faktor perluasan perkhidmatan ini adalah bagi mencapai dan mengangkat nilai tanggungjawab sosial korporat dan nilai kemanusiaan, kerana semua golongan tidak
mengira umur, bangsa, agama, kakitangan atau bukan kakitangan UMS berhak untuk menerima perkhidmatan kesihatan yang ada,” katanya selepas majlis perasmian klinik tersebut oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.

Pada masa ini hanya tiga bilik surgeri dilengkapkan dengan kemudahan kerusi pergigian yang selesa, dan HUMS akan menambah dua unit lagi kerusi pergigian bagi melengkapkan kelima-lima bilik surgeri tersebut agar lebih ramai pesakit dapat dirawat dalam satu masa.

“Dalam masa yang sama, makmal pergigian turut dibangunkan untuk mewujudkan perkhidmatan pembuatan gigi palsu (fleksibel atau acrylic), sports mouthguard atau
nightguard, dan Removeable Orthodontic Appliance.

“Di samping itu, perkhidmatan X-Ray pergigian iaitu OPG, Lateral Cephalogram dan IOPA turut disediakan pada harga yang amat berpatutan,” katanya.- MalaysiaGazette