Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemberian pinjaman bank kepada isi rumah terus berkembang pada separuh kedua tahun 2022 (5.9%; Jun 2022: 5.7%) dengan pertumbuhan pinjaman hampir pulih menghampiri tahap sebelum pandemik (purata 2015-2019: 6.2%).

Pertumbuhan kredit terus mengikuti rapat pertumbuhan pendapatan isi rumah, dengan median nisbah hutang kepada pendapatan (DTI) yang secara relatif stabil pada 1.5 kali (Jun 2022: 1.4 kali).

Malah, keupayaan membayar balik hutang juga kekal kukuh.

Median nisbah khidmat hutang (DSR) bagi pinjaman yang baru diluluskan dan pinjaman isi rumah terkumpul kekal pada paras berhemat, iaitu masing-masing pada 43% dan 37%
(Jun 2022: 42% dan 35%).

Dua pertiga daripada pinjaman yang baharu diluluskan pada tahun 2022 mempunyai DSR di bawah 60%, iaitu kadar yang tidak berubah sejak tahun 2018.

Satu perempat daripada peminjam isi rumah mempunyai DSR melebihi 60% dan mencakupi 33.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

Memandangkan sebahagian besar (69%) daripada dedahan kredit ini disumbangkan oleh peminjam berpendapatan sederhana dan tinggi, risiko kredit terhadap segmen ini dinilai pada tahap terkawal, susulan penampan tersedia yang lebih besar untuk menyokong bayaran balik pinjaman sekiranya berlaku masalah kewangan.

Pinjaman terjejas kekal rendah dalam kalangan peminjam yang mempunyai DSR melebihi 60% (1.2% daripada pinjaman terkumpul dalam segmen ini).

Penunjuk berpandangan ke hadapan seperti bahagian pinjaman yang lebih berisiko untuk segmen ini juga telah menurun (nisbah pinjaman Tahap 2: 7.4%; Jun 2022: 9.1%), yang secara
umumnya konsisten dengan trend yang diperhatikan untuk pinjaman isi rumah secara keseluruhan.

Walau bagaimanapun, bank-bank telah menunjukkan bahawa mereka semakin berwaspada terhadap kesan kenaikan kadar faedah dan kos sara hidup yang lebih tinggi terhadap penampan isi rumah yang tersedia.

Keadaan ini menunjukkan bahawa penunjuk kualiti aset isi rumah mungkin bertambah baik sedikit sahaja pada masa hadapan.

Skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun 2022 dalam keadaan permintaan pelanggan yang berkurang.

Skim itu terus disasarkan kepada segmen terpilih isi rumah Malaysia dengan sebahagian besar penggunanya merupakan peminjam yang lebih muda dan berpendapatan lebih rendah.

Kira-kira 44% pengguna BNPL berumur antara 18 hingga 30 tahun.

Lebih daripada 80% pengguna BNPL berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan,21 dan akibatnya mereka lebih mudah terdedah kepada tekanan kewangan.

Akses yang lebih mudah bagi kemudahan BNPL boleh mendorong pengguna terdedah pada risiko yang lebih tinggi untuk berbelanja melebihi kemampuan tanpa mempertimbangkan keupayaan mereka untuk membayar balik jumlah pinjaman penuh dengan segera.

Kurangnya ketelusan terhadap maklumat fi dan caj, khususnya caj pembayaran lewat dan fi pemprosesan yang dikenakan di bawah skim ini, bermakna pengguna juga mungkin tidak menyedari jumlah keseluruhan yang perlu dibayar.

Bukti anekdot dalam kalangan peserta BNPL lebih besar yang terpilih menunjukkan trend yang semakin meningkat bagi kes bayaran balik pinjaman tidak mengikut jadual, sekali gus menunjukkan risiko tersebut mungkin meningkat (bahagian pengguna BNPL dengan bayaran tertunggak: S4 2022: 17.0%; S2 2022: 14.0%; S4 2021: 7.0%).

Risiko kestabilan kewangan yang berkaitan dengan skim BNPL kekal terhad berikutan dedahan BNPL hanya mencakupi 0.05% daripada jumlah hutang isi rumah.

Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia menyedari risiko amalan yang ditimbulkan oleh BNPL terhadap pengguna dan telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkannya, terutamanya bagi skim BNPL yang ditawarkan oleh entiti yang dikawal selia olehnya.

Langkah ini termasuk mewajibkan institusi kewangan berlesen (bank-bank serta institusi kewangan pembangunan (IKP) yang ditetapkan) dan pengeluar e-wang yang diluluskan agar mematuhi standard pemberian pinjaman bertanggungjawab yang sedia ada bagi skim BNPL yang ditawarkan.

Mereka juga diwajibkan menjalankan penilaian kesesuaian dan kemampuan yang lebih menyeluruh sebaik sahaja pelanggan baharu mendaftarkan penyertaan bagi skim tersebut, dengan mengambil kira jumlah dedahan atau peminjaman daripada pemberi pinjaman yang lain.

BNM juga akan mengenakan langkah-langkah tambahan untuk meningkatkan penzahiran maklumat semua fi dan caj yang dikenakan kepada pengguna BNPL, termasuk sebarang terma dan syarat yang dikenakan semasa pendaftaran penyertaan bagi skim tersebut. – MalaysiaGazeette