KUALA LUMPUR – Presiden Parti Demokratik Bersatu Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Abdul Rahman menegaskan belaiu akan meneruskan sesi dialog ‘Intern Bukan Buruh Paksa’ di Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam ini.
Syed Saddiq (MUDA-Muar) berkata, langkah itu diambil berlandaskan kepada penglibatan beliau bersama mahasiswa biarpun ditolak universiti.
“Hari ini, dilaporkan satu mesej tular di WhatsApp bahawa pintu Kolej Melati akan ditutup dari pukul 9 malam hingga 6 pagi kerana masalah teknikal.
“Seolah-olah UiTM cuba memenjarakan pelajar daripada menyertai sesi dialog. Hei, mereka sudah dewasa!,” kata Syed Saddiq dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
MUDA sebelum ini kesal dengan jawapan balas pihak pengurusan UiTM Shah Alam yang menolak permohonan untuk mengadakan dialog ‘Intern Bukan Buruh Paksa’ bersama Syed Saddiq.
Setiausaha Agungnya, Amir Hadi berkata, program yang dijadualkan berlangsung pada Khamis, jam 10 malam di Dataran Cendekia, UiTM Shah Alam itu ditolak dengan alasan ingin mengekalkan keharmonian kampus.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, universiti tersebut cuba menghalang pelajarnya daripada menghadiri sesi dialog itu apabila terdapat laporan UiTM telah menutup pintu asramanya antara 9 malam ini dan 6 pagi walaupun dalam bulan Ramadan.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, alasan yang diberikan universiti itu adalah pelik kerana beliau tidak berhasrat untuk mengadakan bantahan provokatif sebaliknya mengadakan sesi dialog secara aman bersama pelajar.
“Tahun lalu semasa saya menjadi pembangkang, saya dibenarkan masuk ke universiti bersama pelajar. Pada suku ketiga tahun lalu, menjelang pilihan raya umum (PRU15), saya diberi hak untuk memasuki Universiti Malaya. Tiada siapa yang menghalang saya,” katanya lagi.
Dialog bertajuk “Pelatih Bukan Buruh Paksa”, anjuran MUDA sepatutnya diadakan jam 10 malam ini. – MalaysiaGazette