KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan DHL Express Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi ideal bagi pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti tinggi.
Timbalan Ketua pPegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan MIDA Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, perkongsian itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan alternatif di rantau ini.
“Kerjasama ini penting kepada MIDA, apabila kami menjalankan aktiviti penggalakan pelaburan di seluruh dunia, kami perlu meletakkan Malaysia sebagai pusat pengeluaran global serta sebagai hab pengedaran serantau dan global.
“Kerjasama dengan DHL Express, yang merupakan penyedia perkhidmatan bertaraf dunia, menambah nilai kepada cadangan kami apabila kami berunding untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis permeteraian MoU tersebut, di sini, hari ini.
MoU tersebut dimeterai antara Sivasuriyamoorthy dengan Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo dan disaksikan oleh pengerusi MIDA Tan Sri Sulaiman Mahbob.
Sivasuriyamoorthy berkata DHL Express menyediakan perkhidmatan menyeluruh termasuk pengangkutan fret udara dan laut, hab pusat data serta kemudahan canggih yang akan membantu MIDA menarik lebih banyak FDI ke Malaysia.
“Sebagai agensi penggalakan pelaburan, MIDA juga akan dapat bekerjasama dengan pelanggan DHL Express dan meyakinkan mereka untuk datang dan membuka operasi mereka di Malaysia,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerjasama tersebut juga membuka ruang bagi lebih banyak peluang pelaburan sejajar dengan 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dilaksanakan termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) baru-baru ini.
“RCEP dan CPTPP membuka pasaran baharu di negara seperti Mexico, Kanada, Peru dan Chile, dan dengan adanya perkhidmatan DHL Express untuk mengeksport ke pasaran, ini adalah kelebihan langsung daripada kerjasama ini,” katanya.
Sementara itu, Julian berkata MoU itu menggariskan komitmen bersama untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi FDI dengan mengukuhkan sumbangan industri logistik.
“Sebagai penyedia perkhidmatan ekspres antarabangsa utama dunia, kami membantu memudahkan untuk menjalankan perniagaan serta menyediakan akses lebih besar kepada syarikat ke pasaran Asia Tenggara dan Asia Pasifik yang menguntungkan.
“Kami terus memanfaat kedudukan unik kami untuk membantu perusahaan asing dan multinasional bagi merebut peluang di sini dan di seluruh rantau ini,” katanya. – BERNAMA