Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar (tengah) menerima sumbangan kurma daripada Timbalan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Dr Saleh Ali Ismail Bedaiwi di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Malaysia menerima 35 tan kurma daripada Arab Saudi menerusi Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud hari ini.

Baginda turut berkenan memberi sumbangan 17,000 naskhah al-Quran serta tajaan majlis berbuka puasa nasi mandy ayam untuk 15,000 orang.

Program yang diadakan secara berterusan lebih dua dekad itu disampaikan Timbalan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Dr Saleh Ali Ismail Bedaiwi di Kompleks Islam Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang menjadi wakil untuk menerima sumbangan itu melahirkan rasa bangga atas hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara.

“Malaysia amat bertuah kerana sentiasa mendapat ruang dan dipilih oleh Kerajaan Arab Saudi untuk pelaksanaan program ini.

“Mewakili kerajaan Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota Baginda. Semoga penyumbang diberi kesihatan berpanjangan serta keberkatan daripada Allah SWT,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Jelas Mohd Na’im, beliau juga percaya program berkenaan akan menjadi platform terbaik untuk merapatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Katanya, agihan sumbangan tersebut akan diselaras oleh Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette