Yayasan Selangor

KUALA LUMPUR – Yayasan Selangor (YS) menegaskan tuduhan penyelewengan penjualan tanahnya di Bukit Tinggi yang dilemparkan menerusi akaun Facebook Che’guBard Original baru-baru ini langsung tidak berasas, berbaur fitnah dan mengelirukan.

Dalam satu kenyataan, YS berkata, keputusan penjualan tanah itu mengikut prosedur operasi standard yang telah diluluskan Yayasan Selangor dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah.

Jelasnya, penjualan tanah milik tersebut berdasarkan pengiraan pulangan di atas pelaburan, kedudukan kewangan YS serta risiko-risiko berkaitan dengan projek usaha sama antara YS dan tetuan Fairmore Realty Sdn Bhd (FRSB).

Pengambilan sebahagian tanah tersebut oleh Kerajaan Pusat bagi tujuan projek laluan LRT3 telah memberi kesan kepada keluasan tanah menyebabkan pengurangan ke atas harga jualan berdasarkan keluasan tanah terkini.

Untuk makluman, YS kini di dalam proses mengemukakan tuntutan pampasan berdasarkan harga pasaran dan gantirugi tambahan untuk tanah yang telah
diambilalih.

“Pemegang Amanah YS juga telah meluluskan pengurusan YS untuk membuat pembiayaan “Pemfaktoran” daripada pihak institusi kewangan melalui Capbay bagi menampung keperluan operasi tahun 2020 serta mendapat persetujuan daripada tetuan FRSB.

“Pembiayaan Capbay adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri melalui pembiayaan Selangor Advance yang membantu organisasi mendapat wang pendahuluan untuk kegunaan operasi.

“YS adalah sebuah syarikat berhad menurut jaminan dan tidak mendapat geran daripada pihak kerajaan negeri, oleh itu YS perlu melakukan aktiviti penjanaan dananya sendiri bagi memberi pulangan terbaik untuk disalurkan kepada program-program pembiayaan pendidikan YS,” ulasnya.

Tambahnya, sudah menjadi amalan YS di bawah pentadbiran yang baharu untuk memastikan pengurusan syarikat berintegriti dan mengamalkan tadbir urus yang baik.

Ekoran daripada dakwaan tersebut yang telah mencalarkan imej dan reputasi YS, yayasan telah membuat laporan polis dan menuntut pemilik akaun Che’GuBard Original memohon maaf secara terbuka serta menurunkan hantaran tersebut.

YS menambah, pihaknya sentiasa terbuka untuk memberikan penjelasan sebenar kepada mana-mana pihak yang memerlukan maklumat lanjut mengenai dakwaan ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam usaha menyelesaikan isu ini dengan segera. – MalaysiaGazette