Pengiktirafan oleh Kementerian Pengajian Tinggi itu ternyata satu penghargaanyang tidak ternilai buat UTHM yang telah melakar kejayaan bukan sahaja di peringkat IPT malah di arena kebangsaan dan antarabangsa.  

BATU PAHAT – Kesungguhan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta kejayaan dalam sukan mendayung di pelbagai peringkat membuahkan hasil apabila universiti itu dilantik sebagai Pusat Sukan Tumpuan Mendayung Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi 2023-2025.

Pengiktirafan oleh Kementerian Pengajian Tinggi itu ternyata satu penghargaanyang tidak ternilai buat UTHM yang telah melakar kejayaan bukan sahaja di peringkat IPT malah di arena kebangsaan dan antarabangsa.

Pemilihan UTHM berdasarkan beberapa kriteria seperti kemudahan sedia ada, faktor sumber manusia yang merujuk kepada tenaga kepakaran, kejurulatihan dan kepegawaian serta sokongan padu daripada pihak pengurusan IPT.

UTHM dalam kenyataannya berkata, perwujudan program itu merupakan salah satu usaha untuk membangunkan sukan di IPT dengan lebih sistematik dan teratur serta melahirkan generasi “The Thinking Athlete”.

Program Pembangunan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) dan Pusat Sukan Tumpuan (PST) IPT itu telah bermula pada2010 di bawah Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT).

DPSIPT bukan hanya bertujuan melahirkan atlet di IPT dan negara malah menyediakan peluang pendidikan bagi atlet sebagai penjana dalam melahirkan produk “The Thinking Athlete” yang mempunyai nilai pasaran dan dapat dikomersialkan hingga ke peringkat antarabangsa.

“UTHM berharap lantikan ini akan menjadi satu suntikan semangat dan motivasi dalam memperkasakan sukan mendayung hingga ke peringkat tertinggi selain melahirkan para atlet negara yang berkualiti,” katanya. — MalaysiaGazette